contoh jawapan kesusasteraan melayu tradisional stpm – bahagian A sejarah kmt

Bahagian A; Pengenalan kesusasteraan dan kritikan sastera (format soalan lama iaitu sebelum 2001).

1.A. Maksud sastera panji (4).
Sastera panji adalah cerita berbentuk hikayat yang berkisar di sekitar percintaan, pengembaraan, penyamaran dan peperangan watak-wataknya. Watak-watak yang terlibat biasanya adalah putera-puteri raja-raja Jawa / Majapahit. Watak utamanya ialah putera Ratu Kuripan yang bernama Raden Inu Kertapati dan watak wirawati pula ialah puteri ratu Daha yang bernama Raden Galuh Cendera Kirana.

Latar cerita biasanya di sekitar negeri Kuripan dan Daha. Wira dan wirawati biasanya bercinta. Percintaan mereka menghadapi masalah yang menyebabkan mereka terpisah. Wira akan mengembara untuk mencari wirawati. Dalam pengembaraan mereka akan menyamar dan seringkali berlakunya peperangan. Bagaimanapun cerita biasanya bersifat happy ending. Wira akan berjumpa dengan wirawati dan mereka akan hidup bahagia.

1.b. Tiga fungsi sastera panji (9).
Hasil kesusasteraan tidak dapat lari dari fungsi sebagai alat hiburan, pendidikan, provokasi dan juga sebagai dokumen sosial.

Fungsi hiburan. Masyarakat kampung tradisional menjadikan amalan mendengar cerita sebagai satu hiburan. Cerita panji yang dikisahkan dalam bentuk wayang kulit biasanya diringi dengan muzik yang boleh menghiburkan khalayak pendengarnya lebih-lebih lagi bila disampaikan oleh tukang cerita yang berkebolehan. Masyarakat juga terhibur dengan gambaran kecantikan dan kehebatan watak wira dan wirawatinya.

Fungsi provokasi. Kesusasteraan telah digunakan untuk mengagungkan darjat raja-raja yang memerintah dan putera-puteri mereka. Gambaran yang berlebih-lebihan pada watak wira dan wirawati menyebabkan timbulnya rasa kagum pada golongan raja. Akibatnya rakyat akan setia kepada raja dan mereka takut untuk menderhaka kepada raja. Lebih-lebih lagi raja dianggap mempunyai kebolehan yang sangat luarbiasa. Contohnya wira seperti Raden Inu digambarkan sangat handal dalam peperangan.

Fungsi pendidikan / deduktik / memberi pengajaran. Cerita panji boleh menerapkan nilai-nilai murni kepada pendengarnya. Nilai-nilai seperti keberanian, keperwiraan, kasih-sayang di antara suami-isteri, kesetiaan dan kegigihan sangat dipentingkan dalam cerita. Wira dan wirawati biasanya terlibat dalam percintaan yang mendalam. Bagaimanapun biasanya cinta mereka terhalang menyebabkan wira akan berusaha mencari wirawati dengan penuh kegigihan. Dia sanggup berkorban nyawa untuk mencari kekasih atau isterinya itu. Sebarang halangan ditempuhi dengan penuh keberanian dan keperwiraan. Episod sebegini terdapat dalam cerita-cerita panji seperti Hikayat Raja Kuripan, Hikayat Panji semirang dan juga Hikayat Misa Taman Jayeng Kusuma.

Sastera alat penyebaran agama. Cerita panji adalah jelas dari pengaruh Hindu. Konsep-konsep dalam agama Hindu terdapat dalam cerita-cerita panji. Di antara konsep tersebut ialah kewujudan dewata raya, mengagongkan raja-raja sebagai watak suci, amalan pertapaan, kewujudan kuasa sakti dan ilmu-ilmu hikmat. Dalam cerita Hikayat Misa Taman Jayeng Kusuma, watak wirawati telah menjalani pertapaan. Watak wira yang berusaha mencari wirawati yang hilang telah menggunakan ilmu hikmat dalam penyamarannya sehinggakan mereka tidak dapat dikenali lagi.

1.c. Tiga ciri yang membuktikan sastera panji menerima pengaruh Hindu (12).
Watak dan perwatakan. Watak utama dalam cerita adalah dari kalangan raja, putera-puteri raja dan juga kaum bangsawan. Raja-raja Kuripan, Daha, Gagelang dan Singasari adalah dipercayai dari jelmaan para dewa-dewi yang dipertuhankan dalam agama Hindu. Nama-nama watak seperti Betara Kala, Paduka mahadewi, Sang Nata, Seri Bupati adalah jelas mempunyai kaitan dengan agama Hindu. Selain watak manusia terdapat juga watak jin, bota, mambang dan juga raksasa.

Latar tempat dalam cerita adalah dalam empayar majapahit di negeri-negeri Kuripan, Daha, Gagelang dan Singasari. Negeri-negeri ini dipengaruhi oleh agama Hindu. Bahkan sehingga hari ini penduduk Pulau bali masih lagi menganut agama Hindu. Tinggalan candi Borobudur juga masih lagi terdapat di Pulau Jawa. Dalam teks Hikayat Misa Jayeng Kusuma, latar cerita berlaku di Gunung Wilis, Banjaransari dan juga negeri Gagelang.

Unsur kesaktian dan penjelmaan. Dalam kepercayaan Hindu, para dewa mereka dipercayai mempunyai kuasa kesaktian yang sangat luar biasa. Dewa Visynu, Siva, Krishna dan juga watak-watak yang terdapat Hikayat Ramayana dan Mahabharata juga terdapat dalam cerita Panji.

Dalam teks Hikayat Taman Jayeng Kusuma, watak wira iaitu Sira Panji semasa mengembara telah menyamar menjadi Sira Panji Jayeng Kusuma sehingga tidak lagi dapat dikenali.

Unsur pertapaan. Penganut agama Hindu biasanya menjalani pertapaan untuk mensucikan hati dan memperolehi ilmu-ilmu kesaktian. Dalam cerita panji juga terdapat unsur pertapaan. Watak Gusti Edang Kusuma Jiwa dalam cerita Hikayat Taman Jayeng Kusuma juga telah menjalani pertapaan di Gunung Wilis.

Bahagian B ; Sejarah kesusasteraan Melayu tradisional 2001.

3. Lima panduan untuk raja dan pembesar memerintah sesebuah negara berdasarkan karya kesusasteraan Melayu Tradisional [25M].
Menyiasat aduan dengan teliti. Raja perlu menyiasat setiap aduan dari pembesar atau rakyat dengan teliti sebelum menjatuhkan hukuman. Kecuaian akan menyebabkan golongan tidak bersalah dizalimi. Mangsa akan marah dan akan menentang raja. Sang Rajuna Tapa telah menentang Raja Iskandar Syah kerana anaknya difitnah dan dihukum oleh raja. Akibatnya kerajaan Singapura runtuh. Sikap teliti juga menyebabkan Bawang Merah selamat dari dikenakan hukuman akibat perbuatan khianat ibu tirinya, Mak Kundur.

Menjatuhkan hukuman dengan setimpal. Hukuman yang dikenakan keatas pesalah perlu setimpal. Jangan melampaui batas. Demang Lebar Daun telah meminta hukuman dikenakan oleh raja biar bertepatan dengan syariat. Jangan memalukan rakyat. Dalam kes pembunuhan Tun Jana khatib di Singapura pula menyebabkan Singapura dilanggar todak dan beribu-ribu orang telah terbunuh akibat kesilapan raja.

Menjalankan dasar diplomatik yang cermat. Hubungan dengan negara luar termasuk layanan terhadap utusan-utusan dari negara luar perlu dilakukan dengan baik. Utusan luar jangan dilayan secara kasar. Dalam kes ‘tartar dan menarah kepala budak’ di Singapura telah berlaku serangan oleh Majapahit ke atas Singapura kerana Raja Singapura melayan utusannya secara kasar dan menghina raja Majapahit. Begitu juga sebaliknya.

Raja perlu kuat dan bijaksana. Raja tidak boleh dipilih dari kalangan yang lemah. Raja yang lemah menyebabkan dia boleh dimanipulasi oleh pihak lain yang tidak bertanggungjawab. Raja Ibrahim yang masih kanak-kanak telah menjadi boneka kepada Raja Rekan di Melaka. Bahkan akhirnya Raja Ibrahim atau Sultan Abu Syahid telah mati dibunuh oleh Raja Rekan.

Jangan mengikut hawa nafsu syahwat. Sultan Mahmud Melaka digambarkan terlalu mengikut hawa nafsu syahwatnya menyebabkan dia dibenci oleh Rakyatnya. Raja Pahang berhasrat untuk menyerang Melaka setelah tunangannya Tun Teja dilarikan oleh laksamana ke Melaka. Tun Biajid juga menimang lembing untuk membunuh Sultan Mahmud yang telah berlaku curang dengan isterinya.

Raja mestilah berani. Raja hendaklah berani dan gagah. Sultan Alauddin Riayat Syah dapat dijadikan contoh yang tepat kerana dia berani meronda pada waktu malam di Melaka untuk menghapuskan kes pencurian. Beliau telah mengejar dan berjaya membunuh beberapa orang pencuri.

Jangan pilih kasih. Sikap mengutamakan keluarga dalam pemerintahan boleh mengundang bahaya terhadap kerajaan. Sultan Mansur Syah telah sanggup mengeluarkan anaknya sendiri Raja Muhammad ke Pahang setelah Raja Muhammad membunuh Tun Besar, anak Bendahara Tun Perak.

Sanggup berkorban nyawa. Raja sanggup berkorban nyawa untuk menyelamatkan isteri dan rakyatnya. Dalam Hikayat Pendawa Lima, Sang Bimanyu sanggup berperang, bergadai nyawa untuk menyelamatkan isterinya Dewi Satya Sundari dari tangan musuhnya. Dalam Hikayat Raja Donan pula, Raja Donan sanggap berperang dengan Raja Mambang demi untuk menyelamatkan ibubapanya.

Berkorban untuk negara. Mengorbankan kasih sayang terhadap isteri demi untuk keselamatan negara. Dalam cerita legenda Puteri Sa’dung, Raja Abdullah sanggup berpisah dengan isterinya Puteri Sa’dung untuk mengelakkan negeri Kelantan diserang oleh Raja Siam.

Memilih isteri yang setia dan bijaksana. Isteri biasanya bertindak sebagai pembantu kepada seseorang suami dalam menyelesaikan masalah. Isteri yang curang akan mendatang masalah kepada kesejahteraan raja dan negara. Raja Syah Riar dan Syah Zaman sanggup menjatuhkan hukuman bunuh kepada isteri masing-masing yang telah berlaku curang.

Perihatin terhadap golongan yang lemah. Orang yang kuat dan berkuasa tidak boleh menindas golongan yang lemah sesuka hati. Teladan ini dapat didapati dari cerita Katak membunuh gergasi. Walapun gergasi kuat dia tidak sepatutnya bermaharaja lela bertindak sesuka hati. Akibat perbuatannya membunuh katak-katak, dia akhirnya berjaya dibunuh oleh katak dan kawan-kawannya.

Bertanggungjawab / amanat terhadap tugas. Dalam teks Bustan al-Salatin, khalifah atau sultan dikehendaki bertanggungjawab terhadap kebajikan rakyat dalam negaranya. Khalifah Umar al-Khatab telah dijadikan contoh. Beliau telah keluar meronda pada waktu malam untuk melihat sendiri keadaan rakyat jelata. Rakyat yang susah segera dibantu. Contohnya beliau telah sanggup memikul sendiri guni yang berisi makanan untuk dibawakan kepada sebuah keluarga yang kelaparan. Malah beliau sanggup memasak sendiri makanan untuk keluarga yang kelaparan itu.

Bahagian B ; Sejarah kesusasteraan melayu 2001.

4. Lima aspek pendidikan atau moral yang dapat diperoleh daripada cerita jenaka, [25].
Berjudi memusnahkan kehidupan. Berjudi menyebabkan kerugian harta benda terutama apabila kalah dalam pertaruhan yang dilakukan. Dalam cerita Pak Kadok, Pak Kadok yang ditipu raja telah kalah dalam berlaga ayam. Dia kehilangan harta termasuk kampungnya yang digadai.

Angan-angan tanpa usaha adalah tidak berfaedah. Angan-angan sahaja tanpa diikuti usaha yang sepatutnya membuang masa malah memudaratkan diri sendiri. Dalam cerita Mat Jenin, Mat Jenin yang suka berangan-angan semasa memanjat pokok kelapa telah terjatuh dari pokok dan mendapat kecederaan yang teruk.

Jangan mempercayai tukang nujum. Apabila bernujum dan mempercayai ramalan tukang nujum adalah dilarang dalam ajaran Islam. Ini kerana manusia tidak mengetahui hal-hal yang ghaib. Dalam cerita nujum Pak Belalang, Pak Belalang yang menjalankan kerja bernujum sebenarnya menjalankan penipuan kerana dia sendiri tidak pernah belajar ilmu nujum dan ramalan yang dibuat adalah secara kebetulan sahaja.

Sifat tamak membawa kerugian. Contoh yang tepat untuk penyataan ini adalah dalam cerita Lebai Malang. Lebai Malang yang mendapat undangan kenduri perkahwinan cuba untuk pergi ke tempat-tempat kenduri itu tetapi dengan cara yang salah. Pada masa air pasang dia berperahu ke hilir kuala. Pada masa air surut pula dia menongkah arus akibatnya dia tidak sempat sampai ke tempat kenduri. Kenduri sudah selesai. Akibatnya, tubuhnya letih kerana penar berdayung dan mendapat lapar pula.

Jangan tergopoh-gopoh dalam melakukan sesuatu kerja. Tindakan tergopoh-gopoh tanpa berfikir panjang biasanya akan mendatangkan kesusahan. Tindakan Pak Kaduk yang tidak sabar dan terburu-buru memukul isterinya menyebabkan isterinya telah meninggal dunia. Dia bukan sahaja terpaksa memasak sendiri untuk makan tetapi juga terpaksa menguruskan jenazah isterinya yang meninggal dunia itu.

Bertanya orang yang tahu apabila kita tidak tahu tentang sesuatu perkara. Sifat tidak mahu bertanya orang lain walaupun kita tidak tahu tentang sesuatu perkara atau pekerjaan adalah tidak baik. Akibat melakukan kerja secara jahil mungkin menyebabkan kesusahan kepada diri dan juga keluarga. Dalam cerita Pak Pandir, dia telah memandikan anaknya dengan air panas menyebabkan anaknya terus meninggal dunia. Dia juga telah menambat keri dan mengheretnya kerana disangka sebagai kerbau, akibatnya betisnya telah luka-luka.

Berfikir secara bijaksana dalam melakukan sesuatu kerja. Dengan berfikir kerja yang sukar boleh menjadi mudah. Tanpa berfikir kerja yang senang mungkin akan menjadi susah. Contoh yang tepat adalah dalam cerita katak membunuh gergasi. Kerja membunuh gergasi adalah satu perkara yang mustahil tetapi dengan menggunakan akal kerja itu dapat dilakukan dengan baik berkat fikir katak.

Bekerjasama dapat meringankan beban kerja yang berat. Pepatah Melayu mengatakan ‘Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”. Kerja yang berat apabila dilakukan secara bergotong-royong menjadi mudah. Dalam cerita katak membunuh gergasi, katak telah bersama-sama dengan burung pikau, ular, harimau dan juga gajah telah dapat membunuh gergasi walaupun kerja itu sangat sukar.

Jangan sombong dengan kekuatan diri. Walaupun kita kuat, kita tidak sepatutnya bertindak tanpa mempedulikan orang lain. Apatah lagi menyebabkan orang lain tercedera. Dalam cerita katak membunuh gergasi, gergasi yang telah menyebabkan kecederaan kepada ular sawa, anak harimau dan juga katak telah menyebabkan dia dibenci. Binatang-binatang yang menjadi mangsanya telah berpakat untuk membunuhnya. Di akhir cerita, katak dengan kerjasama semut, burung pikau, ular senduk, gajah dan harimau telah berjaya membunuhnya.
2002.

1.A. Empat ciri mitos [16].
Cerita mitos adalah dipercayai benar-benar berlaku di zaman dulu. Dianggap seperti kepercayaan suci atau agama dari satu generasi ke generasi baru. Ceritanya dikaitkan dengan ketuhanan dan dewa-dewi yang dianggap suci terutama oleh penganut animisma dan Hindu. Contoh watak dewata ialah Dewa Krisyna, Dewa Visynu, Dewa Brahman dan Dewa Siva. Watak raja di bumi pula seperti Maharaja Seri Rama. Watak-watak dikaitkan dengan kuasa supernatural.

Latar dalam cerita mencakupi alam ghaib, alam langit, kayangan dan alam kehidupan jin serta hantu. Contohnya dalam Hikayat Seri Rama dan Hikayat Pendawa Lima yang dipengaruhi oleh kitab mitos Hindu iaitu Hikayat Ramayana dan Mahabharata. Unsur-unsur ghaib dan luarbiasa adalah dominan dalam cerita mitos.

Cerita Mitos Asal-usul Isi Dunia adalah mitos yang dipengaruhi oleh unsur Islam. Cerita ada kaitan dengan Allah s.w.t. dan watak para nabi iaitu Nabi Adam a.s. dan Zulkarnain, anaknya yang bongsu. Zulkarnain telah diangkat ke langit dan menyebabkan kekaguman kepada bidadari di dalam Syurga. Keistimewaan ana-anak Iskandar Zulkarnain ini menyebabkan mereka diangkat menjadi raja di Benua Rom, Benua Cina dan di Tanah Jawi (Melayu).

Dalam teks Sulalatus Salatin juga terdapat banyak unsur mitos terutama yang berkaitan dengan Iskandar Zulkarnain. Beliau mempunyai hubungan yang rapat dengan Nabi Khidir. Iskandar dikatakan mempunyai dua tanduk yang luarbiasa. Tanduk yang menimbulkan kegerunan kepada manusia lain itu telah dikerat dan terhasillah 6 perkara daripadanya iaitu Mahkota sanggohani, lembing lembuara, gemala sati, tudung saji, pinang pasir dan sirih udang. Raja Suran pula dikaitkan dengan Nabi Sulaiman. Dia telah meminta Raja jin Asmaghiah Peri mendapatkan 3 mahkota dari perbendaharaan Nabi Sulaiman untuk diberi kepada anak-anaknya. Raja Merah Silu dan Raja Kecil Besar pula dikaitkan dengan Nabi Muhammad s.a.w.. Kedua-dua mereka telah bermimpi menerima Islam dari Nabi Muhammad s.a.w..

1.B. Tiga kedudukan mitos asal-asul kejadian manusia yang dikatakan bermula daripada Nabi Adam dalam kesusasteraan Melayu tradisional [9].

Dalam kesusasteraan Melayu tradisional terdapat beberapa teks yang mengaitkan asal-usul kejadian manusia dengan Nabi Adam a.s.. Contohnya teks cerita mitos (Asal-Usul kejadian Isi Dunia), sastera agama (Hikayat Nur Muhammad) dan juga teks sastera sejarah (Sulalatus Salatin).

Cerita mitos asal-usul manusia dari Nabi Adam ini digunakan untuk meneguhkan keyakinan umat Islam tentang kebenaran ajaran Islam. Meneguhkan keyakinan umat terhadap rukun iman, istimewanya rukun iman kedua iaitu beriman kepada rasul.

Cerita mitos juga menyebabkan manusia tertarik kepada Islam. Sifat fitrah manusia yang mengkagumi perkara-perkara luarbiasa dialihkan dari bersifat animisma dan hindu kepada yang selaras dengan Islam. Keluarbiasaan yang ada pada penciptaan Nabi Adam a.s. dan keturunannya menyebabkan Islam menjadi lebih diminati.

Cerita mitos mengaitkan penciptaan Adam a.s. dengan Allah s.w.t. sebagai penciptaan segala makhluk termasuklah manusia. Kekuasaan Allah ini secara tidak lansung menafikan kekuasaan para dewa dalam kepercayaan animisma dan Hindu. Kewujudan para malaikat pula menafikan kewujudan dewa-dewa yang lain seperti Dewa Visynu, Siva, Brahman dan Krisyna.
Cerita mitos memberikan sifat-sifat luarbiasa kepada para dewa dan raja-rajanya. Dalam Islam sifat luarbiasa ini diberikan berupa mukjizat kepada nabi-nabi. Dengan sendirinya nabi-nabi akan dikagumi dan dimuliakan. Maknanya cerita mitos telah mengangkat martabat para Nabi-nabi.

Cerita mitos juga mengaitkan raja-raja Melayu dengan cerita Nabi Adam a.s.. Contoh yang jelas ialah dalam Mitos Asal-usul Isi Dunia dan juga di dalam teks Sulaltus Salatin. Raja-raja dikatakan dari keturunan Iskandar Zulkarnain dan Iskandar Zulkarnain sendiri dikatakan anak Nabi Adam a.s.. Cerita sebegini menyebabkan martabat raja-raja Melayu diagkat kerana mereka dari keturunan nabi. Apatah lagi Raja Merah Silu dan Raja Kecil Besar dikatakan menerima Islam dari Nabi Muhammad s.a.w. sendiri.

Unsur mitos berunsur Hindu yang seringkali dimasukkan dalam kesusasteraan Rakyat (cerita mitos), Hikayat, Panji, Agama dan juga sejarah telah digantikan dengan mitos berunsur Islam dalam teks-teks kesusasteraan. Kesusasteraan berunsur Hindu mulai tidak popular di kalangan orang Melayu. Watak-watak bersifat luarbiasa yang selari dengan ajaran Islam ini telah menyebabkan cerita mitos, sastera hikayat dan juga sastera sejarah menjadi lebih popular.

2.A. Latar belakangnya Sheikh Daud al-fatani [15].
Nama sebenar Sheikh Daud ialah Daud bin Abdullah. Beliau lebih dikenali di kalangan orang Arab sebagai Sheikh Wan Daud bin Sheikh Wan Abdullah. Lahir pada 1 Muharram 1183 Hijrah atau 7 Mei 1769 Masihi. Tempat lahir ialah di wilayah Petani, selatan Thailand. Beliau meninggal dunia pada 22 Rejab 1263 Hijrah bersamaan 8 Julai 1847 Masihi. Dikebumikan di Mekah al-Mukarramah.

Beliau mendapat pendidikan awal daripada keluarganya di Petani. Melanjutkan pelajaran ke Aceh selama 30 tahun, sebelum belajar di Makkah dan Madinah selama 5 tahun. Beliau mahir dalam pelbagai ilmu-ilmu Islam terutamanya dalam bidang bahasa arab, al-qur’an, hadis, fekah, tasawuf dan juga sejarah Islam.Beliau banyak menulis kitab-kitab Islam dan menjalankan juga kerja-kerja terjemahan kitab Arab ke bahasa Melayu.

2.B. Karya-karya Sheikh Daud al-fatani [10].
Sheikh Daud telah menghasilkan lebih 100 buah kitab sama ada karya terjemahan atau karya asal tulisannya sendiri.Secara ringkasnya adalah seperti berikut ;

Kitab furu’ al-masail wa usul al-Masail, kitab yang mebicarakan perkara-perkara utama dan sampingan dalam bidang fekah Islam.

Kitab Minhajul Abidin. Kitab terjemahan dalam bidang tasawuf yang asalnya ditulis oleh Imam al-Ghazali.

Kitab Munyat al-Musalla. Kitab ini bertemakan persoalan politik dan kenegaraan. Menyentuh mengenai peranan raja-raja yang adil dan yang zalim. Boleh dikaitkan dengan usaha orang-orang Melayu thailand menentang pemerintahan raja-raja Siam di Patani.

Kitab Muta’alim. Mengenai adab-adab dalam usaha menuntut ilmu. Adab sebagai pelajar dan juga sebagai guru.

Kitab Bughyatul al-Tullab li Murid wa al-Ahkam bis-Siwab. Kitab ini mengenai adab-adab menuntut ilmu dan mengenai perkara-perkara yang menyebabkan kemuliaan serta mendatangkan pahala yang besar di sisi Allah.

2003

1.A. Maksud cerita legenda [5].
Cerita legenda adalah hasil kesusasteraan rakyat yang berbentuk naratif lisan. Disifatkan sebagai satu penulisan sejarah tempatan dalam masyarakat lama. Cerita mengenai kebesaran atau keluarbiasaan seseorang tokoh. Terdapat unsur tokok-tambah secara berlebih-lebihan terhadap perwatakan watak utama.

Watak dalam cerita dipercayai pernah hidup berdasarkan bukti-bukti sejarah. Latar dalam cerita di alam realiti. Cerita legenda dapat dibahagikan kepada 4 jenis iaitu legenda tentang tokoh (pemimpin / pahlawan), nama tempat, keagamaan dan memorat (cerita hantu).

1B. Empat faktor yang mendorong penyebaran cerita legenda di kalangan masyarakat Melayu [20].
Cerita legenda adalah dipercayai benar oleh masyarakat tempatan dan terdapat bukti-bukti yang membenarkan cerita itu. Contohnya, majoriti penduduk Langkawi masih percaya dengan kesan sumpah Mahsuri terhadap Langkawi sebagai padang jarak padang tekukur .

Watak utama dalam cerita legenda adalah tokoh-tokoh yang disanjung oleh masyarakat tempatan, contohnya watak Hang Tuah di Melaka, Mahsuri di Langkawi dan Puteri Sa’dong di Kelantan. Hang Tuah disanjung kerana kepahlawanannya. Mahsuri dan Puteri Sa’dong kerana kecantikannya.

Latar dalam cerita adalah di alam nyata dan masih kekal hingga kini. Ianya dapat dilihat oleh masyarakat hingga sekarang. Contohnya Perigi Hang Tuah di Melaka dan Bukit Marak iaitu tempat tinggal Puteri Sa’dong di Kelantan. Begitu juga dengan kubur Raja Abdullah, suami puteri Sa’dong masih wujud di Melor, Kelantan.

Unsur luarbiasa yang ada pada watak menimbulkan kekaguman masyarakat. Contohnya keperwiraan Laksamana Hang Tuah yang dikatakan kebal kerana memiliki keris Tamingsari. Watak Mahsuri dan juga Puteri Sa’dong yang berdarah putih. Tubuh Mahsuri yang tidak lut ditikam dan air liur Mahsuri yang menyebabkan Raja Siam mendapat penyakit kudis.

Unsur deduktif dalam cerita juga menyebabkan ianya sentiasa disebarkan oleh generasi tua kepada generasi muda untuk pendidikan moral dan nilai-nilai murni. Cerita Hang Tuah boleh menimbulkan sifat keberanian dan ketaatsetiaan terhadap raja. Cerita Mahsuri mendidik manusia supaya jangan percaya kepada fitnah.

2.A. Maksud persoalan kepahlawanan [5M].
Persoalan kepahlawanan adalah merujuk kepada kehandalan dalam pertempuran di medan perang, berpencak silat, bermain keris, bermain pedang ataupun memanah musuh.

Kepahlawanan juga merujuk kepada ilmu-ilmu hikmat seperti kegagahan, tidak lut ditikam dengan senjata, boleh menghaibkan diri, boleh menawarkan bisa racun dan juga boleh merubah diri menjadi makhluk lain.

Kepahlawanan juga memerlukan kebijaksanaan dalam menjalankan strategi dalam menentang musuh atau dalam peperangan.

Dalam masyarakat lama, kepahlawanan juga merujuk kepada pemilikan senjata sakti atau hikmat.

Watak pahlawan juga mesti memiliki sifat berani menentang musuh walaupun musuh itu dikatakan handal ataupun lebih ramai dari dirinya.

Tokoh-tokoh pahlawan juga semestinyalah watak protagonis yang menjadi kebanggaan raja atau negara.

2B. Empat aspek kepahlawanan dalam karya kesusasteraan Melayu Tradisional [20M].
Kehandalan dalam pertempuran di medan perang, berpencak silat, bermain keris, bermain pedang ataupun memanah musuh. Contohnya dalam Hikayat Hang Tuah, Hang Tuah dikatakan sangat handal sehingga tidak boleh dikalahkan oleh sesiapun di alam Melayu di waktu itu.

Pemilikan ilmu-ilmu hikmat seperti tidak lut ditikam dengan senjata, kegagahan, boleh menawarkan bisa racun dan juga boleh merubah diri menjadi makhluk lain juga menjadi sifat laksamana Hang Tuah. Dia tidak lut ditikam selagi memiliki keris Taming Sari. Semasa di Majapahit, Hang Tuah dapat menawarkan arak sehingga menjadi tidak memabukkan. Dalam perlawanannya menentang Sang Winara semantara, Hang Tuah merubah dirinya menjadi harimau. Badang pula dikelaskan sebagai pahlawan Singapura kerana kegagahan yang dimilikinya setelah memakan muntah hantu.

Kebijaksanaan dalam menjalankan strategi dalam menentang musuh atau dalam peperangan boleh dilihat pada watak Bendahara Tun Perak dan juga Laksamana Hang Tuah. Bendahara Tun Perak menyuruh memasang jamung pada setiap pokok di pantai Melaka supaya tentera Siam menyangka bilangan tentera Melaka sangat ramai. Hang Tuah pula meminta bertukar keris semasa berperang dengan Taming Sari. Raja Donan dalam Hikayat Raja Donan berjaya membunuh Raja Mambang kerana dia tahu rahsia rahsia untuk membunuh raja Mambang hanya dengan sekali tikam sahaja.

Pemilikan senjata sakti atau hikmat juga melibatkan watak Hang Tuah. Hang Tuah dikatakan memiliki keris Taming Sari menyebabkan dia tidak lut ditikam. Raja Donan pula telah dilahirkan bersama sebilah pedang dan selaras beduk. Senjata itu telah digunakan untuk membunuh Raja Mambang Nan Bongsu.

Sifat berani menentang musuh walaupun musuh itu dikatakan handal ataupun lebih ramai dari dirinya. Sifat ini jelas pada masa Hang Tuah diminta menghapuskan 50 orang yang pura-pura mengamuk semasa berada di Majapahit. Kesemua mereka dihapuskan dengan seorang dirinya sahaja.

Sifat gemar mengembara terutama untuk menuntut ilmu dan berbakti kepada negara juga menjadi sifat pahlawan. Laksamana Hang Tuah telah pergi berguru hingga ke Tanah Jawa. Untuk berbakti kepada negara pula, Hang Tuah telah mengembara ke Majapahit. Laksamana Hang Nadim ke Pahang untuk menculik Tun Teja. Laksamana Khoja Hassan juga pernah ke Pahang untuk menculik gajah Sultan Pahang.

Dengan sifat-sifat kepahlawanan yang sejati itu Hang Tuah telah dinobatkan sebagai hulubalang Melayu yang menjadi kebanggaan raja-raja Melayu Melaka.

2004.

1.A. Tiga kelompok sastera hikayat dan berikan contoh karyanya [9].
Tiga kelompok sastera hikayat ialah hikayat berunsur Hindu, berunsur campuran Hindu dan Islam serta Hikayat berunsur Islam.

Hikayat berunsur Hindu ialah sastera yang menerima secara kuat pengaruh Hindu terutama dari Hikayat Ramayana dan Mahabharata. Contoh karya ialah Hikayat seri Rama dan Hikayat Pendawa Lima.

Hikayat berunsur campuran Hindu dan Islam kerana mempunyai unsur-unsur Hindu dan juga unsur-unsur Islam. Contoh karya ialah Hikayat Ahmad Muhammad dan Hikayat Si Miskin.

Hikayat berunsur Islam pula ialah hikayat yang menerima kuat pengaruh Islam dalam karya. Contohnya ialah Hikayat 1001 malam dan Hikayat Abu Nawas.

1.B. Empat ciri umum sastera hikayat [16].
Latar tempat dalam cerita mencakupi alam nyata dan juga di alam ghaib seperti di kayangan, istana raja-raja jin, dewa-dewi dan juga alam hantu syaitan. Cerita Hikayat Pendawa Lima bertempat di istana Maharaja Gatotkaca dan istana Maharaja Baladewa. Cerita Hikayat 1001 malam pula di istana Raja Syahriar dan Raja Syah Zaman.

Watak dalam cerita meliputi manusia biasa, raja-raja, dewa-dewi, para jin, hantu syaitan dan juga binatang. Contoh dalam Hikayat Pendawa Lima melibatkan anak-anak raja iaitu dewa-dewa seperti Dewa Krisyna. Dalam hikayat Ahmad Muhammad melibatkan permaisuri dan Datuk Syahbandar. Sementara dalam Hikayat 1001 Malam melibatkan watak jin ifrit dan juga binatang seperti anjing, kuda dan lembu.

Tema dan persoalan dalam cerita biasanya melibatkan unsur percintaan, pengembaraan dan juga peperangan. Dalam Hikayat Ahmad Muhamad, kedua-dua watak telah lari dari istana kerana dikejar oleh 500 orang hamba Hambsyi yang diupah untuk membunuh mereka. Dalam Hikayat Pendawa Lima pula, sang Bimanyu telah keluar mengembara untuk mencari isterinya.

Plot cerita biasanya bersifat kronologi iaitu mengikut urutan masa dari awal sampai akhir cerita. Peringkat awal ialah peringkat pra pengembaraan, semasa pengembaraan dan selepas pengembara. Cerita berakhir secara happy ending. Dalam Hikayat Pendawa Lima, Sang Bimanyu telah memperolehi semula isterinya. Dalam Hikayat 1001 malam, Raja Syahriar dan Syahzaman telah berjaya membunuh semua isteri dan dayang yang telah berlaku curang.

Unsur luarbiasa dalam cerita. Termasuk dalam kategori ini ialah kuasa luarbiasa para dewa-dewi dan juga kepahlawanan watak utama dalam menghadapi musuh. Dalam hikayat Pendawa Lima, watak Sang Bimanyu digambarkan sangat berani, contohnya semasa berhadapan dengan hulubalang Maharaja Gatotkaca. Begitu juga keupayaan Ahmad dan Muhammad dalam menghadapi 500 musuh yang mengejar mereka.

Cerita kesusasteraan adalah ditulis untuk tujuan hiburan. Gambaran kecantikan puteri-puteri raja dan kehebatan atau kepahlawanan para putera raja berjaya menarik hati para pendengar.

2.A. Tiga sebab mengapa persoalan tentang kesetiaan rakyat terhadap raja penting kepada masyarakat tradisional [9M].
Masyarakat tradisional Melayu adalah masyarakat feudal. Raja-raja adalah pemimpin masyarakat. Persoalan kesetiaan rakyat terhadap raja sangat penting supaya rakyat tetap setia menghormati raja-raja.

Raja-raja dianggap sebagai insan yang sangat mulia kerana mereka daripada keturunan yang ada kaitan dengan nabi-nabi. Sulalatus Salatin mengaitkan raja-raja Melayu dengan Raja Suran dan juga Iskandar Zulkarnain. Iskandar Zulkarnain sendiri adalah raja besar yang berjaya meluaskan empayarnya hingga ke India. Namanya juga ada disebutkan di dalam al-Qur’an.

Tuntutan supaya taat setia kepada pemimpin adalah satu sifat yang dituntut dalam agama Islam. Umat Islam dikehndaki taat setia kepada Allah, Rasul dan juga pemimpin yang adil. Sekiranya pemimpin yang adil, dia wajib ditaati. Menderhaka kepada raja yang adil adalah berdosa.

Rakyat dikehendaki taat setia kepada raja kerana adanya konsep Melayu yang pantang derhaka kepada raja. Penderhakaan kepada raja boleh menyebabkan tertimpanya tulah. Dalam Sulalatus Salatin, Sang Rajuna Tapa yang menderhaka kepada raja Iskandar Syah telah bertukar menjadi batu.

2 B. Empat keberkesanan karya kesusasteraan Melayu Tradisional dalam
masyarakat [16].
Hasil sastera mempunyai banyak kesan dalam masyarakat hasil dari peranan atau fungsi yang dimainkan olehnya. Kesan sebagai sumber hiburan. Hasil sastera menyebabkan lahirnya kegembiraan dan ketenangan. Contohnya dengan mendengar kisah jenaka seperti cerita Pak Pandir, hati akan menjadi terhibur. Begitu juga dengan menghayati seloka dan pantun jenaka.

Kesan sebagai sumber pengajaran atau pendidikan (deduktif). Banyak pengajaran atau teladan baik yang dapat diperolehi dari karya-karya sastera. Begitu juga dengan sempadan terhadap perlakuan jahat yang sepatutnya dijauhi. Cerita teladan Bawang Putih Bawang Merah menjadi pengajaran supaya ibu tiri jangan menganiya anak tirinya.

Kesan sebagai sumber ilmu. Pelbagai jenis ilmu dapat disebarkan menerusi karya sastera. Sastera sejarah menjadi sumber penyebaran sejarah. Sastera undang-undang menjadi wadah ilmu tentang undang-undang. Sastera tatanegara menjadi panduan untuk mentadbir negara. Sastera kitab dan agam menjadi wadah ilmu keagamaan.

Kesan sebagai bahan kritikan sosial terhadap ahli masyarakat. Karya sastera telah dijadikan wadah untuk mengkritik atau menyindir ahli masyarakat. Cerita jenaka Pak Pandir merupakan satu sindiran terhadap orang yang bodoh dan malas bekerja. Cerita binatang “Katak Membunuh Gergasi” menyindir ahli masyarakat yang berkuasa supaya jangan berlaku zalim terhadap golongan yang lemah.

Kesan terhadap aktiviti dalam kehidupan seharian. Banyak karya yang sering diguna pakai dalam aktiviti seharian dalam masyarakat. Puisi Berzanji sering dialunkan terutama dalam majlis bercukur jambul bayi yang baru dilahirkan dan juga dalam sambutan maulidur rasul yang disambut saban tahun. Mantera seringkali digunakan untuk tujuan perubatan seperti untuk merawat orang yang patah. Ada mantera yang digunakan untuk mengail ikan.

Kesan terhadap ekonomi masyarakat. Hasil kesusasteraan juga boleh menjana sumber pendapatan. Para tukang cerita seperti Tuk selampit telah menjadi kerja bercerita sebagai karier untuk mendapatkan pendapatan. Ramai pengarang di zaman tradisional yang mendapat biayai dari para sultan atau khalifah di atas kerja-kerja penulisan mereka terutamanya golongan penulis agama, kitab, ketatanegaraan dan juga penulis undang-undang.

2005.

1.A. Dua kumpulan hasil kesusasteraan undang-undang Melayu tradisional dan tiga contoh karya kesusasteraan tersebut [5].
Dua kumpulan undang-undang Melayu ialah undang-undang adat perpatih dan adat Temenggung. Tiga contoh karya ialah Hukum Kanun Melaka, Undang-undang Laut Melaka, Hukum kanun Pahang dan Undang-undang Johor.

1.B. lima ciri kesusasteraan undang-undang Melayu tradisional beserta contoh ciri kesusasteraan tersebut [20].
Kesusasteraan undang-undang adalah jenis karya non naratif bertulis. Tema karya adalah berkaitan nndang-undang terutamanya tentang jenis-jenis kesalahan dan bentuk-bentuk hukuman. Contoh kesalahan ialah mencuri dan hukumannya ialah potong tangan. Di peringkat awal undang-undang adalah dipengaruhi kepercayaan animisma, Hindu dan kemudiannya Islam.

Selain menyenaraikan bentuk-bentuk keslahan dan hukuman, teks sastera undang-undang juga menjelakan mengenai bidang tugas raja-raja dan pembesar seperti menteri dan penghulu. Dalam teks Undang-undang Laut Melaka, penulis menghuraikan tugas nakhoda kapal, jurumudi, jurubatu dan juga para awak kapal.

Penulis teks biasanya terdiri dari kalangan birokrat bangsawan atau tokoh agama. Biasanya karya ditulis atas arahan raja / sultan. Undang-undang Melaka yang berupa adat istiadat mula disusun supaya selaras dengan kehendak Islam setelah Raja Kecil Besar memeluk agama Islam. Ditulis semula oleh Hang Saidi Ahmad atas arahan Sultan Mahmud antara tahun 1523-1524. Undang-undang juga dipengaruhi oleh Adat Perpatih ataupun adat temenggung.

Oleh kerana ditulis atas arahan pihak istana, sastera undang-undang tidak lepas dari unsur mitos dan legenda tertutama dalam menghuraikan asal-usul keturunan raja Melaka yang dikatakan berasal dari tokoh legenda iaitu Iskandar Zulkarnain.

Unsur-unsur Hindu juga banyak mempengaruhi karya. Masyarakat sangat taat setia kepada raja. Raja disembah dan diagong-agongkan. Banyak pantang-larang dikenakan ke atas rakyat supaya tidak menyamai raja-raja. Contohnya dalam pemakaian kain berwarna kuning dan putih. Terdapat undang-undang dimana pencuri dikehendaki mencelup tangan dalam minyak panas mendidih. Peraturan ini mengambil contoh Sita dewi dikehendaki berjalan di atas jambatan api untuk membuktikan dirinya tidak bersalah.

Gaya bahasa dalam teks adalah mengikut pola bahasa melayu lama. Ayat adalah panjang-panjang. Bahasa asing terutamanya bahasa Arab banyak mempengaruhi karya. Sebagai contoh, teks Undang-undang Laut Melaka dimulakan dengan kalimah Bismillahi Rahmanir Rahim dan puji-pujian kepada Allah “Alhamdulillahi Rabbilalamin”.

Teknik penulisan teks undang-undang hampir menyerupai karya sastera sejarah. Teks dimulakan dengan bahagian pendahuluan atau mukadimah. Bahagian isi dibahagikan kepada beberapa bab atau fasal. Contohnya Undang-undang Laut Melaka mempunyai 24 fasal. Hukum Kanun Melaka pula dibahagikan kepada 27 fasal.

Satu daripada ciri sastera undang-undang dalam masyarakat melayu lama ialah wujudnya jenis hukuman yang tidak selaras. Hukuman yang dikenakan adalah berbeza mengikut taraf seseorang itu. Hukuman yang dikenakan atas kesalahan yang sama apabila dilakukan oleh raja, pembesar, rakyat biasa dan hamba adalah berbeza. Biasanya hukuman ke atas golongan hamba dan rakyat biasa adalah lebih berat jika dibandingkan dengan dilakukan oleh golongan pemerintah.

2. Lima unsur moral yang terdapat dalam cerita binatang [25].
Jangan angkuh atau sombong. Ramai orang apabila mempunyai kekuatan fizikal, kekayaan harta benda, ketinggian pangkat darjat mula berperasaan sombong dan angkuh. Sifat sombong diri ini sebenarnya menyebabkan kerugian pada diri sendiri. Gergasi yang angkuh dengan kekuatan dirinya dan tidak mempedulikan nasib orang lain telah yerjatuh ke dalam sungai dan mati lemas.

Tidak menganiaya orang lain. Tindakan yang kita lakukan secara sengaja atau tidak jangan menyebabkan orang lain mendapat kesan tidak baik. Contoh dalam cerita Katak membunuh gergasi, Si gergasi semasa lari kerana takutkan ribut telah menyebabkan anak harimau mati tersepak dan ular sawa patah pinggang kerana terpijak.Sepatutnya kes ini tidak berlaku sekiranya gergasi berhati-hati semasa berlari itu.

Bertindak mengikut akal waras, jangan mengikut perasaan. Sesuatu tindakan yang diambil sepatutnya difikirkan dahulu kesan atau akibatnya, Baik atau buruk. Jangan hanya bertindak mengikut perasaan marah. Dalam cerita katak membunuh gergasi juga terdapat adegan gergasi yang membunuh katak-katak dalam sebuah telaga. Sepatutnya tindakan ini tidak dilakukan gergasi. Katak tidak akan berdendam dan bertindak untuk membunuhnya pula.

Berfikir dengan mendalam dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Bila timbul sesuatu masalah, fikirlah dengan mendalam untuk menyelesaikannya. Jangan mudah menyerah kalah atau mudah berputus asa. Dalam cerita katak membunug gergasi, katak telah menghadapi masalah besar, semua kaum keluarganya mati dibunuh gergasi dan dia cuba untuk membalas dendam. Cara yang dilakukannya ialah dengan berpakat dengan binatang-binatang lain yang juga teraniaya iaitu dengan semut, ular, burung pikau, harimau dan juga gajah.

Bekerjasama dalam melaksanakan kerja yang berat. Kerja yang berat sekiranya dilakukan secara bersama akan menjadi ringan. Kerja yang mudah akan menjadi lebih mudah. Usaha katak yang kecil mahu membunuh gergasi yang sangat besar adalah satu kerja yang mustahil tetapi apabila kerja itu dilakukan bersama binatang-binatang lain, gergasi yang besar itu berjaya dikalahkan.

2006

1.A. Maksud sastera sejarah [5].
Sastera sejarah adalah hasil kesusasteraan naratif atau non naratif yang dimasukkan fakta sejarah. Di samping unsur-unsur kreatif dan imaginatif terdapat juga fakta yang konkrit yang boleh dibuktikan kebenarannya. Contoh karya sejarah ialah teks Sulalatus Salatin. Pada bab-bab permulaan teks terdapat banyak peristiwa yang luarbiasa dan tidak logik seperti peristiwa Raja Suran masuk ke dalam laut dan berkahwin di sana hingga mendapat tiga orang anak. Bagaimanapun terdapat juga banyak fakta sejarah yang benar mengenai pemerintahan raja-raja di Melaka, contohnya di Melaka memang pernah wujud sultan-sultan seperti Sultan Muhammad Syah, Muzaffar Syah, Mansur Syah dan Mahmud Syah.

1.B. Empat ciri sastera sejarah [20]
Bersifat naratif tulisan. Sastera sejarah mencatatkan banyak peristiwa atau kisah-kisah yang telah berlaku di zaman lampau. Kisah itu ditulis dalam buku yang khas. Hasilnya lahirlah teks Sejarah Melayu, Misa Melayu dan Hikayat Merong Mahawangsa.

Mempunyai unsur mitos dan legenda. Unsur-unsur yang sangat luarbiasa dimasukkan dengan niat untuk pemerian yang berlebih-lebihan, contohnya untuk menggambarkan keagungan seseorang watak seperti Iskandar Zulkarnain, Raja Suran, Raja Merah Silu dan juga Raja Kecil Besar.

Tema dan persoalan dalam teks adalah berkaitan dengan sejarah terutamanya mengenai asal-usul raja dan kerajaan serta peristiwa-peristiwa penting yang telah berlaku dalam sesebuah kerajaan itu. Teks Sulalatus Salatin adalah mengisahkan asal-usul raja dan kerajaan Melayu dari keturunan Iskandar Zulkarnain. Pembukaan negeri Singapura dan Melaka. Peristiwa-peristiwa penting yang telah berlaku di Palembang, Singapura, Melaka, Pahang dan juga Johor Riau.

Watak dalam teks dari kalangan manusia dan juga makhluk lain. Tumpuan teks sejarah tidak terhadap manusia biasa tetapi lebih kepada golongan kerabat istana terutamanya raja sendiri. Watak-watak lain dimasukkan untuk mengangkat darjat raja itu sendiri. Teks Sejarah Melayu adalah mengenai raja-raja Melayu di zaman Singapura dan Melaka. Watak selain manusia seperti pelanduk putih di Melaka adalah untuk menyokong menguatkan kedudukan raja itu sendiri. Contoh lain ialah cacing yang direbus Merah Silu di Semudera Pasai dan juga kemunculan Singa di Singapura.

Latar tempat dalam teks adalah di alam nyata dan juga di alam lain. Latar tempat berfokus kepada pusat pemerintahan raja iaitu di istana-istana raja. Contohnya di istana Raja Kida Hindi di negeri Hindi, istana raja-raja Singapura dan juga Melaka. Latar tempat di alam lain yang berkaitan unsur mitos dan lagenda juga wujud. Raja Suran telah pergi ke dalam laut.Raja Merah Silu dan Raja kecil Besar telah bertemu Nabi Muhammad s.a.w. di alam mimpi.

Teknik penulisan dalam teks sejarah. Sastera sejarah biasanya ditulis dalam teks yang panjang. Biasanya dibahagikan kepada beberapa bab. Setiap bab pula dibahagikan kepada beberapa sub topik yang lebih kecil. Contohnya teks Sulalatus Salatin mengandungi 15 bab. Bab pertama dan kedua pula dibahagikan kepada 7 sub topik. Dalam teks sejarah juga biasa diselitkan dengan penggunaan wasiat, pantun, syair, peribahasa dan juga talibun (runs/bahasa berirama). Secara keseluruhannya teks akan dibahagikan kepada 3 peringkat iaitu bahagian prolog (pengenalan), perkembangan dan juga epilog (penutup).

2.A. Dua contoh karya sastera Melayu yang menerima pengaruh daripada epik Ramayana dan Mahabharata [4].
Hikayat Seri Rama dan hikayat Pendawa Lima.

2.B. Tiga faktor mengapa epik Ramayana dan Mahabharata mempengaruhi penulisan sastera Melayu zaman itu [9].

Teks Ramayana dan mahabharata adalah kitab suci bagi agama Hindu. Teks ini disebarkan sebagai kitab agama yang dianuti oleh orang Melayu ketika itu. Bagaimanapun teks ini hanya tersebar di kalangan elit, bangsawan istana. Orang melayu biasa tidak berminat menganut agama Hindu.

Penyebaran teks Pendawa Lima dan Hikayat Seri Rama disokong oleh golongan istana kerana isi teks yang mengagongkan golongan raja-raja. Golongan raja dianggap sebagai penjelmaan dewa-dewi dalam agama Hindu. Raja-raja mesti ditaati, tidak boleh diderhakai.

Teks Pendawa Lima dan Seri Rama memaparkan banyak peristiwa luarbiasa dan unsur-unsur seperti percintaan, pengembaraan, penyamaran dan peperangan. Tema-tema ini sememangnya mampu menarik hati ahli masyarakat yang mudah terpegun dengan kecantikan wirawati atau puteri-puteri raja dan kepahlawanan para wiranya.

Penyebaran teks Seri Rama dan Pendawa Lima juga disebarkan menerusi genre sastera Panji dan Lipurlara. Cerita hikayat dan cerita Panji juga disebarkan menerusi permainan wayang kulit dan juga menora di kalangan masyarakat Melayu Jawa dan Kelantan. Dalam versi wayang kulit, penggunaan bahasa berirama dan kepandaian tukang cerita disamping penggunaan alat muzik telah mendorong menyebarluaskan cerita tersebut.

2.C. Empat ciri karya sastera Melayu zaman pra-Islam berunsur Hindu [12].
Tema dan persoalan dalam karya hikayat berunsur Hindu adalah mengenai kisah raja-raja yang terlibat dalam percintaan, pengembaraan, penyamaran dan peperangan. Banyak unsur-unsur luarbiasa dalam teks. Dalam teks Hikayat Pendawa Lima, watak wira iaitu Sang Bimanyu sangat bersedih kerana kekasihnya telah dilarikan orang. Dia mengembara untuk mencari kekasihnya itu. Dengan pertolongan Maharaja Gatotkaca dia berperangan dengan pasukan Mahajara Baladewa. Semasa peperangan masing-masing watak menggunakan kuasa kesaktian mereka. Mereka boleh bertukar menjadi api. Maharaja Gatotkaca dan Sang Bimanyu boleh merubah wajah menjadi Dewi Satya Sundari dan pengasuhnya.

Latar tempat dalam cerita adalah berlaku di alam nyata dalam kerajaan yang mengamalkan agama Hindu. Terdapat juga latar di alam dewa-dewi di kayangan, alam kehidupan jin dan hantu.

Watak-watak terdiri dari para raja-raja dan dewa-dewi, watak manusia dan juga bukan manusia. Watak raja adalah dari penjelmaan dewa-dewi. Mereka mempunyai sifat-sifat yang luarbiasa. Mereka boleh terbang di udara, boleh berubah menjadi api dan gergasi yang sangat besar serta mempunyai kegagahan dan kuasa kesaktian.

Gaya bahasa dalam teks adalah dipengaruhi oleh bahasa sanskrit dan agama Hindu. Ini kerana teks hikayat adalah dipengaruhi oleh kitab suci agama Hindu iaiatu teks Ramayana dan Mahabharata. Contohnya terdapat nama-nama watak seperti Dewa Visynu, Siva, Brahman dan Krisyna.

Plot cerita biasanya bersifat kronologi dengan bahagian pengenalan, perkembangan dan peleraian. Plot juga boleh dibahagikan kepada bahagian sebelum pengembaraan, semasa pengembaraan dan selepas pengembaraan. Dalam teks Hikayat Pendawa Lima, terdapat watak Sang Bimanyu yang keluar mengembara mencari kekasihnya iaitu Dewi Satya Sundari. Di akhir teks, Sang Bimanyu dengan bantuan Maharaja Gatotkaca telah berperang dengan Maharaja Baladewa dan berjaya merampas kekasihnya daripada dikahwinkan dengan Laksamana Kumara.

2007.

1.A. Maksud sastera kitab dan latar belakang penulisannya. Sebutkan nama lima pengarang sastera kitab (9).
Sastera kitab ialah jenis kesusasteraan non naratif berbentuk tulisan. Karya yang ditulis oleh ahli-ahli agama untuk menerangkan ilmu-ilmu yang berkaitan agama Islam. Penulis-penulis kitab Melayu kebanyakannya mendapat pendidikan Islam di Petani, Melaka, Pasai, Aceh, Makkah dan Madinah. Mereka menulis dalam bahasa Arab dan Melayu. Karya yang dihasilkan sama ada asli atupun terjemahan dari kitab-kitab Arab. Contoh pengarang sastera kitab dari alam Melayu ialah seperti Hamzah Fansuri, Nuruddin al-Raniri, Syamsudin Sumatrani, Sheikh Daud al-Fatani dan Sheikh Ahmad bin Muhamad Zain al-Fatani.

1.B. Dua bidang ilmu utama yang terkandung dalam sastera kitab (4).
Bidang ilmu termasuklah berkenaan dengan ilmu al-qur’an, hadis, fekah, usuluddin, tasawuf, undang-undang, pentadbiran /kenegaraan dan juga sirah / sejarah.

Al-Quran, hadis, ijma dan qias para ulama adalah asas kepada perkembangan ilmu-ilmu Islam. Ilmu asas kepada pengajian al-qur’an (Ulum al-Qur’an) termasuklah ilmu tentang bahasa Arab, Asbabbun Nuzul, Mantik, Bayan, Ma’ani dan Sirah.

Bidang fekah boleh dibahagikan kepada fekah ibadat, muamalat, muasyarat, munakahat, siasah dan juga akhlak. Fekah ibadat berkaiatan dengan persoalan syahadat, solat, puasa, zakat dan haji. Fekah muamalat berkaitan dengan ekonomi. Fekah Muasyarat berkaitan dengan sosial. Fekah munakahat berkaitan dengan rumahtangga.Fekah siasah mengenai politik dan pentadbiran. Fekah akhlak mengenai nilai-nilai berkaitan dengan tingkahlaku manusia.

Ilmu tasawuf adalah mengenai kejiwaan atau kerohanian manusia. Membicarakan sifat-sifat mahmudah dan mazmumah dalam diri manusia. Hati yang baik akan membentuk tingkahlaku yang baik.

Ilmu tauhid atau usuluddin adalah memberi penekanan terhadap Rukun Iman pertama dan Rukun Islam pertama iaitu mengenai dua kalimah syahadat. Perkara yang meningkatkan iman, meruntuhkan iman dan membatalkan keimanan.

1.C. Berdasarkan dua bidang ilmu utama dalam sastera kitab, pilih sebuah karya daripada setiap bidang ilmu utama tersebut dan huraikan persoalan yang terkandung di dalamnya (12).

Contoh kitab dalam bidang Fekah ialah kitab “Sirat al-Mustaqim” karya Nuruddin al-Raniri. Kitab ini membahaskan pandangan Mazhab Syafie dalam bidang fekah terutamanya mengenai syahadat, solat, puasa, zakat dan haji.

Contoh kitab ilmu tauhid ialah faridah al-Faraid karya Sheikh Ahmad bin Muhamad Zain al-fatani. Kitab ini membicarakan tentang sifat wajib, harus dan mustahil bagi Allah dan Rasul. Kitab ini juga membicarakan mengenai alam kubur, mahsyar, sirat, mizan, sirat, syurga dan neraka.

Contoh kitab ilmu tasawuf ialah Rubai karya Hamzah Fansuri. Kitab ini merupakan puisi-puisi sufisma yang membicarakan persoalan ketuhanan. Kecintaan dan kerinduan kepada Allah yang diibaratkan seperti seorang kekasih.

2.A. Latar belakang Raja Ali Haji. (10).
Nama penuhnya ialah Raja Ali bin Raja Ahmad (1804 – 1872). Mendapat pendidikan dari keluarga sejak kecil. Melanjutkan ke Mekah dan Madinah. Mahir dalam bahasa Melayu dan Arab. Beliau adalah sepupu kepada pemangku raja Johor Riau iaitu Raja Ali. Dianggap sebagai seorang ulama dan diangkat menjadi penasihat kepada raja. Menulis kitab-kitab bahasa, agama, sejarah dan ketatanegaraan.

2.B. lima buah karya beliau yang penting dan jelaskan kandungan setiap karya tersebut (15)..
Salasilah Melayu dan Bugis. Buku sejarah tentang bangsa Melayu dan Bugis. Berlatarbelakangkan sejarah negeri Johor dan kepulauan Riau Lingga.

Tuhfat an-Nafis juga kitab sejarah mengenai negeri Johor di zaman penguasaan orang-orang Bugis. Menyentuh juga mengenai sejarah selangor, Pahang dan juga Kedah. Sejarah campurtangan bangsa asing terutamanya pengaruh Inggeris di Tanah melayu dan Belanda di Indonesia.

Gurindam Dua Belas. Kitab puisi yang mengandungi gurindam-gurindam nasihat kepada para pembacanya mengenai soal-soal ketuhanan, mengenal diri, dunia, akhirat dan mengenal Allah.

Thamarat al-Muhimmah. Kitab ini menyentuh mngenai konsep beraja dalam Islam, Tugas-tugas raja, menteri dan juga kadi.

Syair nasihat kepada Raja. Kitab nasihat kepada raja-raja melayu supaya berlaku adil dalam pemerintahan. Menjauhi sifat zalim. Mengandungi juga nasihat kepada para menteri, hakim atau qadhi.

2008.

1. Cerita mitos adalah karya naratif lisan melayu yang hidup di zaman animisma. Mengandungi peristiwa-peristiwa yang berkaitan dengan ketuhanan dan juga raja-raja yang kaya dengan unsur-unsur luarbiasa. Mengenai soal-soal kepercayaan dan dianggap sebagai kitab yang benar dan suci. Cerita mitos mengandungi unsur-unsur kepercayaan animisma, Hindu dan juga Islam. Latar tempat dalam cerita juga adalah di alam yang luarbiasa, alam langit, Syurga dan kayangan.

Dalam teks mitos “Asal-usul Kejadian Isi Dunia’, menyentuh mengenai anak Nabi Adam yang bernama Iskandar Zulkarnain. Zulkarnain pernah di bawa ke langit dan menyebabkan kekaguman kepada bidadari di Syurga. Dalam teks ‘Kisah Nur Muhammad’, latar teks adalah di alam roh dan di alam langit. Latar masa adalah sebelum kejadian dunia lagi. Nur Muhammad telah disuruh menyelam dalam 7 lautan di alam langit dan diminta mendakwahkan iman kepada tanah, air, api dan angin. Dalam teks Sulalatus salatin, Raja Suran telah masuk ke dalam laut, baginda pergi ke negeri Dika. Raja Suran berjumpa dengan jin Asmaghiah peri.

Empat golongan cerita mitos yang terdapat dalam kesusasteraan Melayu tradisional ialah mengenai mitos asal-usul, mitos budaya, mitos politik dan cerita-cerita rakyat. Contoh-contoh cerita mitos boleh didapati dari teks sejarah agung bangsa Melayu iaitu teks Sulalatus Salatin Sejarah Melayu.

Mitos asal-usul adalah mengenai asal-usul raja-raja dan kejadian dalam alam ini. Asal-usul kejadian isi dunia, manusia dan fenomena alam serta nama-nama tempat. Contoh cerita mitos mengenai asal-usul dunia ialah cerita mitos “Asal-usul Isi Dunia’. Teks ini mempercayai asal usul manusia bermula dari nabi Adam. Anak Nabi Adam yang bongsu telah berkembang ke seluruh dunia. Mereka menjadi raja di Benua Rom, Cina dan juga di alam Melayu (Tanah Jawi).

Mitos budaya adalah menyentuh mengenai perkembangan agama Islam di alam Melayu. Mitos kemasukan Islam ke semudera Pasai dan juga kemasukan Islam ke Melaka.

Mitos politik adalah mengenai asal-usul sesebuah negeri seperti asal-usul pembukaan Singapura dan Melaka. Dalam teks Sulalatus Salatin terdapat cerita-cerita luarbiasa mengenai raja-raja Melayu yang dikatakan berasal dari Iskandar Zulkarnain. Raja Suran dikatakan dapat masuk ke dalam laut. Anak-anaknya turun di Bukit Si Guntang Mahameru. Seri Teri Buana yang menjadi raja pertama di Singapura dan juga kisah-kisah raja-raja di Melaka.

Mitos popular atau cerita rakyat yang terkenal seperti kisah singapura dilanggar todak, kegagahan badang dan juga kisah peminangan Puteri Gunug Ledang.

2.A. Dua pendapat berbeza tentang asal-usul tokoh ini (4).
Pendapat pertama menyatakan Bukhari al-jauhari adalah seorang saudagar permata yang berasal dari Bukhara, ini kerana Bukhari adalah bermaksud ahli permata. Pendapat kedua pula menyatakan Bukhari berasal dari negeri Johor. Pendapat ini disanadarkan kepada perkataan Jauhari yang dimaksudkan sebagai negeri Johor.

2B. Karya tokoh. (1).
Tajus Salatin.

2.C. Latar belakang karya (4).
Bukhari al-Jauhari menghasilkan kitab ini di Aceh pada tahun 1603. Tajus al-salatin bermakna mahkota sultan-sultan. Mempunyai 24 bab. Setiap bab dibahagikan pula kepada beberapa fasal. Tema teks adalah mengenai ketatanegaraan iaitu berupa panduan kepada raja, menteri dan pegawai-pegawai kerajaan bagi memerintah negara. Kitab ini dipengaruhi oleh budaya Islam di negeri Arab dan Parsi. Pengarang telah menggunakan lebih 30 teks untuk dijadikan rujukan dalam menghasilkan kitab ini. Kitab ini juga adalah kitab kenegaraan pertama dihasilkan di alam Melayu.

2.D. Huraikan empat sumbangan karya tersebut kepada khalayak zamannya (16).
Panduan dalam bidang ilmu tauhid dan tasawuf. Dalam bab 1, pengarang menyentuh mengenai soal-soal akidah ketuhanan. Tujuan penciptaan manusia, dunia dan kehidupan di alam akhirat. Manusia dijadikan tuhan sebagai hamba dan juga khalifahnya di bumi. Dalam bab 1 mengandungi 5 fasal yang membicarakan mengenai kejadian manusia, kebesaran tuhan, sebab dijadikan manusia, sakaratul maut dan juga tentang akal fikiran.

Panduan untuk raja / sultan bagi memerintah negara. Diterangkan bidang tugas dan amanah yang ditanggung oleh para pemerintah terutamanya raja dan para menterinya. Tugas-tugas Bendhara, Penghulu Bendahari, Temenggung dan Laksamana juga turut dibincangkan.

Panduan untuk rakyat terutama bagi golongan ibubapa dalam pendidikan anak-anak supaya menjadi rakyat yang taat setia kepada raja. Rakyat yang bertugas sebagai pegawai kerajaan dapat menjalankan tugas dengan bertanggungjawab dan setia.

Menjadi perintis karya dalam genre kesusasteraan ketatanegaraan. Selepas kelahiran Tajus Salatin beberapa pengarang lain telah menghasilkan pula kitab seperti Bustan al-Salatin, Thamarat al-Muhimmah dan Kitab Nasihat segala raja-raja.

Kewujudan karya undang-undang secara tidak lansung telah menyumbang untuk pembentukan negara yang aman-damai. Rakyat akan takut untuk melakukan kesalahan kerana terdapat peruntukan undang-undang yang akan mengadilinya. Ketakutan ini sangat dirasai oleh golongan hamba abdi dan hamba berhutang kerana hukuman terhadap mereka adalah lebih berat. Contohnya, jika hamba mencuri mereka boleh dihukum bunuh.

Karya sastera undang-undang juga menyumbang kepada pengkayaan genre-genre kesusasteraan. Dalam masyarakat awal hanya terdapat karya-karya lisan yang membicarakan soal-soal yang mudah tetapi dengan kewujudan sastera undang-undang, skop tema dan persoalan dalam sastera menjadi bertambah luas dan kompleks.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s