bahagian c contoh soalan prosa melayu tradisional stpm

1. STPM 2002.

5. Berdasarkan cerita Pak Belalang dalam teks Warna Sari Sastera Melayu Tradisional, bincangkan lima persoalan yang cuba disampaikan oleh pengarang (25).

6. Baca petikan di bawah ini, dan jawab soalan-soalan yang mengikutinya.

Setelah didengar oleh Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam perkataan Raja Habib ibn Malik demikian itu, maka sabda rasulullah sallahu alaihi wa sallam, “Hai raja, tiadakah tuan hamba mendengarkan firman Allah taala demikian ertinya ; ‘Adapun Muhammad itu pesuruh Allah taala sertanya segala kafir itu dimasukkan Islam. Bahawa sesungguhnya akulah penghulu segala nabi yang mursal seratus tiga belas, aku yang menjadi penghulu dan Jibrail yang membawa firman Allah Ta’ala. Maka hambalah dengan kenyataan mukjizat berbagai yang indah dengan dianugerahi Allah Ta’ala azzawajjala, barang yang ku pinta kepada tuhanku sekalian dianugerahi kepada aku. Maka sekarang apalah kehendak raja kepada hamba ini, katakanlah kepada hamba supaya hamba mendengar.”

Maka ujar Raja Habib ibn Malik, Hai Muhammad Aminullah ! Adapun yang kami pinta kepada tuan hamba seperti perkataan orang besar-besar di dalam negeri Mekah ini iaitu, hendaklah tuan hamba adakan seperti maksud kami sekalian ini minta panggilkan bulan itu turun datang kepada tuan hamba itu dan suruhkan bulan berkeliling kaabah al-Allah itu tujuh kali. Telah itu tuan suruhkan bulan itu mengucap dua kalimah syahadah akan tuan hamba dengan nyaring suaranya supaya didengar oleh segala khalayak yang banyak ini, dan orang besar-besar dan kecil dan tua dan muda. Maka tuan hamba suruhkan masuk ke dalam tangan baju tuan yang kanan dan keluarkan iadaripada tangan yang kiri. Setelah itu suruhlah bulan itu menjadi belah dua, sebelah ke maghrib dan sebelah ke masyrik. Kemudian bulan itu balik ke langit lagi bertemu pula seperti sediakala adanya dengan tiada bercela lagi rupanya. Maka Muhammad al-Aminullah inilah yang hamba sekalian berkehendak kepada tuan hamba. Maka adakanlah seperti maksud kami sekalian ini. Jikalau tuan hamba mengadakan mukjizat yang seperti demikian itu, maka sesungguhlah tuan hamba ini nabi yang akhir al-zaman dan penilik segala nabi-nabi dan penghulu segala nabi-nabi dan mahkota segala nabi-nabi dan makhdum segala nabi-nabi, baharulah kami sekalian percaya akan tuan hamba. Jikalau tuan dapat diadakan oleh tuan hamba akan maksud hamba sekalian ini, baharulah hamba sekalian percaya menurut sebarang kata tuan hamba.”

Hikayat Bulan Berbelah, Warna Sari Sastera Melayu Tradisional, DBP, hlm. 97-98.

A. Namakan dua watak Arab dalam petikan di atas dan jelaskan apa yang disampaikan oleh mereka (8).
B. Huraikan tiga kesan mesej dalam petikan di atas kepada pembaca (9).
C. Nyatakan empat mukjizat Nabi beserta mukjizatnya yang terdapat dalam “Hikayat Bulan Berbelah” seperti yang termuat dalam warna Sari Sastera Melayu Tradisional (8).

2. STPM Tahun 2003.

5. Penulisan “Kitab Nasihat Segala Raja-raja” yang terdapat dalam Warna Sari Sastera Melayu Tradisional terbahagi kepada beberapa bab dan fasal.

A. Huraikan tiga tujuan pengarang menggunakan kaedah pembahagian bab dan fasal tersebut (9).
B. Huraikan dua perkara yang tidak boleh dilakukan oleh Raja seperti yang terkandung dalam bab 3 Fasal 1, “Kitab Nasihat segala raja-raja” yang termuat dalam Warna Sari Sastera Melayu Tradisional (8).
C. Dalam Bab 3 Fasal 1, “Kitab Nasihat segala raja-raja” terdapat petikan hadis yang bermaksud ;

“Segala raja yang adil pada hari kiamat atas mimbar daripada mutiara dari hadrat Allah Ta’ala kerana berbuat adil mereka itu di dalam dunia”. [Warna Sari Mutiara Sastera Melayu Tradisional, Hlm. 142.]

Huraikan dua mesej yang terdapat dalam hadis ini (8).

6. “Hikayat Amir Hamzah” yang terdapat dalam Warna Sari Sastera Melayu Tradisional menonjolkan Amir Hamzah sebagai wira.

A. Jelaskan latar belakang Amir Hamzah (5).
B. Huraikan lima keistimewaan yang dimiliki oleh Amir Hamzah (20).

3. STPM Tahun 2004.
5. Baca petikan di bawah ini, dan jawab soalan-soalan yang mengikutinya.

Kata sahibul hikayat, (tatkala Nabi Allah Sulaiman jadi khalifah), melainkan semut jua tiada datang mengunjung Nabi Allah Sulaiman kerana wafat Nabi Allah daud alaihissalam. Maka sembah semut, “Ya Nabi Allah, sekalian yang bernyawa datang mengunjung tuan hamba kerana jadi khalifah, bahawasanya hamba ketahuilah bahawa Allah Taala apabila dikasihinya akan hamba-Nya, maka dijauhkan-Nya daripada dunia dengan seisinya dan digemarkannya kepada hamba-Nya itu akhirat dengan seisinya. Maka bahawa sanya, demi Allah Taala, masygullah tuan hamba kena bala dengan pekerjaan khalifah ini, tiada ketahuan kesudahan apa jua adanya dalam pekerjaan itu, maka mengunjung kematian itu terutama daripada mengunjung khalifah.”

Seperti kata syair yang ertinya; “Bahawasanya pekerjaan itu tiada kekal bagi yang empunya kerajaan itu adanya, jika engkau tiada kabul akan yang demikian itu, maka ke mana raja yang dahulu kala itu sanya ?”

Seperti kata syair yang ertinya; “Tanamkan olehmu segala tanaman kebajikan, apabila engkau turun maka segala tanaman itu tiada turun, yakni perbuatlah olehmu perbuatan kebajikan, apabila mati engkau, kebajikan itu tiada jua hilang adanya.”

Nasihat; Sayugianya bagi segala perbuatan raja-raja mengerjakan segala pekerjaan dalam kerajaannya itu dengan kebajikan dan mengadatkan dengan adat yang baik supaya tinggal adatnya itu hingga datang kepada Hari Kiamat, dan jangan ia berbuat aniaya dan mengadatkan dengan kejahatan. Seperti firman Allah Taala yang tersebut dalam Qur’an (surah al-hujurat; 9).

Ertinya; “Berbuat adillah kamu, maka bahawasanya Allah Taala mengasihi segala yang berbuat adil.”
Dan seperti sabda Nabi sallahu alaihi wassalam.

Ertinya; “Barangsiapa yang mengadatkan dengan suatu adat yang kebajikan maka adalah baginya pahala dan bagi barang siapa yang mengamalkan adat itu. Dan barang siapa yang mengadatkan suatu kejahatan maka dosa baginya dan (bagi) barangsiapa mengamalkan[nya].”

Mutiara sastera Melayu Tradisional, hlm. 218-220.

A. Huraikan lima teknik penulisan yang digunakan dalam petikan di atas [10].
B. Huraikan lima nasihat kepada seorang raja atau pemerintah yang terdapat dalam petikan di atas [15]

6. Pokok persoalan cerita panji ialah Panji mengembara dengan menyamar diri untuk mencari kekasihnya. Berdasarkan bab XII “Hikayat Misa Taman Jayeng Kusuma” yang termuat dalam Mutiara Sastera Melayu Tradisional.

A. Nyatakan tiga perwatakan Sira Panji (6).
B. Nyatakan dua tempat yang dilawati Sira Panji dalam pengembaraannya dan jelaskan peristiwa yang dialami oleh beliau di tempat-tempat tersebut, dan (10).
C. Huraikan tiga penyamaran yang terdapat dalam teks tersebut (9).

4. STPM TAHUN 2005.
5. Baca petikan di bawah ini, dan jawab soalan-soalan yang mengikutinya.

Maka laksamana pun teringat akan keris pandaknya, lalu dirasainya keris itu tiada. Maka laksamana pun terkejut, dalam hatinya; “Wah kenalah aku sekali ini!” Maka laksamana pun berdiam dirinya seketika. Maka dibacanya pustakanya, maka digosokkannya pada tangannya pada tangannya kedua. Maka diraba kerisnyanya Patih Gaja Mada ; dapat ke tangan laksamana; laksamana pun pakai keris itu. Maka titah Seri Betara, “Hai Patih Gajah Mada, mana kerismu kita hendak lihat ?” Maka sembah patih Gajah Mada, “Daulat Tuanku Paduka Betara, apa guna dilihat keris orang tua ini, karatan.” Maka titah seri Betara; “Hai Patih Gajah Mada, mari juga kita lihat.” Maka dirabanya kerisnya pun tiada. Maka patih Gaja Mada pun tersipu-sipu malu.”

Mutiara Sastera Melayu Tradisional, hlm. 162.

A. Nyatakan lima peristiwa yang terdapat dalam petikan di atas (10).
B. Nyatakan tiga watak dalam petikan di atas, dan huraikan perwatakan mereka seperti yang terdapat dalam teks Mutiara Sastera Melayu Tradisional (15).

6. Baca petikan di bawah ini, dan jawab soalan-soalan yang mengikutinya.

Maka bertempik-tempik juga Raja Mambang Nan Bongsu berteriak menyuruh hantarkan Puteri Permaisuri kepadanya. Lama-lama risau pula Raja madong Bongsu mendengar tempik Raja Mambang Nan Bongsu itu, lalu ia turun hendak berperang. Setibanya di tanah, maka lansung ditetak oleh Raja Mambang Nan Bongsu . Oleh itu Raja Madong Bongsu ;

Ditetak di kiri, dibuang ke kanan,
Ditetak di kanan, dibuang ke kiri.
Ditetak di atas, diendap ke bawah,
Ditetak di bawah, dilompat ke atas.

Lala-lama pada ketika ;

Wak-wak ndayu-dayu (mendayu-dayu)
Hujan panas sepoi-sepoi bahasa,
Danu (pelangi) minum di tengah gelanggang.

Maka salahlah langkah Raja Madong Bongsu terus dikerat lehernya oleh Raja Mambang Nan Bongsu. Maka matilah raja Mambang Nan Bongsu pun bertempik-tempiklah ;

Melompat-lompat,
Melampus-lampus (menikam-nikam) pinang dara,
melampus-lampus nyiur dara,
Merentak-rentak,
Menyingsing-nyingsing lengan baju,
Menyingsing-nyingsing pesak seluar,
Bagai orang pedas sirih,
Bagai orang malan (mabuk) pinang.

Maka anak angkat bertuah Raja Madong Bongsu yang bertujuh itu.

Dengan membuang songkok, membuang songkoklah,
Dengan membuang keris, membuang kerislah,
Dengan membuang sapu tangan, membuang sapu tanganlah.

Mutiara Sastera Melayu Tradisional, Hlm. 64-65.

A. Huraikan lima gaya bahasa yang terdapat dalam petikan di atas (15).

B. Jelaskan maksud puisi di bawah ini berdasarkan petikan yang diberikan ;
i. Ditetak di kiri, dibuang ke kanan,
Ditetak di kanan, dibuang ke kiri.
Ditetak di atas, diendap ke bawah,
Ditetak di bawah, dilompat ke atas
(5).

ii. Melompat-lompat,
Melampus-lampus (menikam-nikam) pinang dara,
melampus-lampus nyiur dara,
Merentak-rentak,
Menyingsing-nyingsing lengan baju,
Menyingsing-nyingsing pesak seluar,
Bagai orang pedas sirih,
Bagai orang malan (mabuk) pinang.
(5).

5. STPM TAHUN 2006.
5. Terangkan lima mesej atau amanat yang terdapat dalam cerita, “Kejenakaan Pak Pandir” sebagaimana yang termuat dalam Mutiara Sastera Melayu Tradisional (25).

6. Baca petikan di bawah ini, dan jawab soalan-soalan yang mengikutinya.

Mereka pun berasa amat takut. Maka kedengaran suara dari Bukit Kaf, Adam dan isterinya Hawa serta anak-beranak melihat ke arah bukit itu. Mereka terlihat panji-panji terkembang di atas bukit itu seperti buih di laut putihnya. Adam dan isterinya Hawa serta anak-beranak mereka merasa hairan. Maka nabi Adam pun ………

Tatkala Allah taala menurunkan anak Adam yang bongsu itu ke dunia, maka laut itu pun berombak. Maka ikan yang bernama Nun itu itu pun menghamburkan dirinya, maka bergeraklah seluruh bumi, antah berantah rasanya alam. Sebab itulah maka bernama tanah Rom. Maka berkatalah segala anak-anak Adam ….

Mutiara Sastera melayu Tradisional, Hlm. 15-16.

A. Nyatakan empat peristiwa yang berlaku sehingga timbulnya rasa takut dan hairan (8).
B. Jelaskan maksud metafora “Seperti buih dilaut putihnya” (2).
C. Huraikan lima tujuan penulisan petikan episod di atas (15).

6. STPM TAHUN 2007.
5. Huraikan lima unsur pendidikan moral yang dapat memberikan manfaat kepada kehidupan manusia dalam cerita “Katak Membunuh Gergasi” seperti yang terdapat dalam teks Mutiara sastera Melayu Tradisional (25).

6. Huraikan lima persoalan dalam Undang-undang Laut Melaka seperti yang terdapat dalam teks Mutiara Sastera Melayu Tradisional (25).

7. STPM TAHUN 2008.
5. Terangkan aspek pengembaraan yang terdapat dalam “Hikayat Raja Donan” sebagaimana yang termuat dalam Mutiara sastera Melayu Tradisional (25).

6. Baca petikan d bawah ini dan jawab soalan-soalan ang mengikutinya.

Maka raja melaka pun datang diiringkan oleh laksamana, Hang jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir, hang Lekiu, dan segala pegawai pertuanan. Maka raja melaka pun sampailah ke peseban. Maka titah Seri Betara, “Hati laksamana, beriwayatlah akan perintah segala raja-raja yang dahulu kala,” Maka sembah laksamana, “Daulat Tuanku Andeka Betara”. Maka laksamanapun berceritalah perintah segala raja-raja yang dahulu kala.

Tatkala itu Patih Gajah Mada dan Rangga dan Temenggung, Jaksa Kunduran ada mengadap Betara Majapahit bertindih-tindih riba dengan Laksamana. Maka penjurit itu pun adalah duduk di belakang tiang itu menantikan laksamana berkata-kata dengan Seri Betara itu, menantikan alpa. Setelah dilihat oleh penjurit itu akan berkata-kata dengan Seri Betara itu tiada khabarnya dirinya dan keris pandaknya pun ia lupa, akan keris panjangnya juga dipegang-pegangnya, maka penjurit itupun perlahan-lahan datang ke belakang laksamana, lalu dirabanya keris laksamana itu ; dapat diperolehnya. Maka dipersembahkan kepada Seri Betara.

Maka Laksamanapun teringat akan keris pandaknya, lalu dirasainya keris itu tiada. Maka laksamanapun terkejut dalamhatinya. Wah kenalah aku sekali ini ! Maka Laksamanapun berdiam dirinya seketika. Maka dibacanya pustakanya, maka digosokkan pada tangannya kedua. Maka diraba kerisnya pada Patih gajah Mada ; dapat ke tangan laksamana ; laksamanapun pakai keris itu. Maka titah Seri Betara, hai Patih Gajah Mada ; Mana kerismu kita nak lihat ? Maka sembah Patih gajah Mada , Daulat tuanku Paduka Betara, apa guna dilihat keris orang tua ini, karatan. Maka titah Seri Betara, Hai Patih gajah Mada, Mari juga kita lihat. Maka dirabanya kerisnya pun tiada. Maka Patih gajah Madapun tersipu-sipu malu.

Maka titah seri Betara, hai laksamana jangan laksamana syak hati; kita bergurau-gurau dengan laksamana. Maka keris itupun dikembalikan kepada laksamana. Maka segera disambut oleh Laksama keris itu lalu dipakainya. Maka keris Patih Gajah Mada pun dikembalikan kepada Patih gajah Mada pula. Maka titah baginda, Laksamana jangan syak hati, kerana kita bergurau-gurau. Maka sembah lakasmana, daulat tuanku, ‘Pada bicara patih, sebenarnya tuan bergurau-gurau dengan hambanya. Jikalau lain dari tuanku, masakan berani bergurau dengan patik. Jika empat biji matanya dan jika bergading sekalipun tiada patik endahkan dan takut. Maka Betara Majapahit pun kemalu-maluan lalu bertitah kepada Laksamana , “Jangan ditaruh kepada hati lagi”. Maka sembah laksamana, :Daulat Tuanku !”. (Mutiara Sastera Melayu Tradisional, hlm. 161 – 163).

A. Siapakah nama sebenar nama penjurit dalam petikan di atas (1).
B. Huraikan empat peristiwa penting yang berlaku dalam petikan di atas (12).
C. Huraikan empat keistimewaan yang dimiliki oleh watak Laksamana berdasarkan petikan di atas (12).

9. STPM TAHUN 2009.
5. Baca petikan prosa di bawah ini dan jawab soalan-soalan ang mengikutinya.
Demi sampai sahaja Raja Shah Riar diistananya maka dipancungnya kepala permasisurinya, dayang-dayang dan sekalian hamba-hamba. Dari sejak itu, apabila dia beristerikan seorang perempuan, dan selepas bersatu, dibunuhnya perempuan itu. Begitulah halnya selama tiga tahun sehingga menimbulkan ketakutan kepada anak negeri. Rakyat jelata yang ada anak-anak gadis meninggalkan negeri kerana menyelamatkan anak-anak gadis mereka.
Pendeknya tidaklah ada lagi di dalam negeri itu, walaupun seorang gadis yang sanggup bersuamikan raja.
Pada suatu hari, Raja Shah Riar bertitah kepada seorang menterinya supaya meminangkan seorang gadis, dan sembahkan kepadanya seperti biasa.
Beberapa hari lamanya menteri itu keluar merisik dan mencari seorang gadis untuk dipersembahkan kepada raja, tetapi tidak juga dapat. Ia pun pulang ke rumahnya dengan perasaan cemas dan amat berdukacita kerana takutkan kemurkaan raja.
Kebetulan menteri itu mempunyai dua orang anak gadis yang sangat rupawan. Yang sulung bernama Shahar Zad dan yang bongsu bernama Dunia Zad.
Shahar Zad bijak pandai dan terpelajar. Dia banyak membaca buku-buku tawarikh, sejarah raja-raja dan umat negeri-negeri pada zaman yang lampau. Dia telah membaca dan menyimpan sebanyak seribu buah buku yang bermacam-macam jenis.
Kenapa anakanda lihat ayahanda termenung berdukacita hari ini ? Apakah yang ayahanda susahkan, padahal ahali-ahli syair telah berpesan ; “Wahai sesiapa yang menanggung duka, jangan selalu menaruh dukas,” Kata Shahar Zad setelah melihat keadaan ayahnya seperti seorang yang kesusahan yang amat sangat.
“Ayahanda sekarang sedang runsing memikirkan titah raja, dan bagaimana hendak menghadap baginda dengan tangan kosong,”.
Ayahanda yang dikasihi ! Kahwinkan sahaja anakanda ini dengan raja yang kejam itu supaya ayahanda terlepas dari kemurkaan. Sekiranya Tuhan mengizinkan anakanda hidup, dapatlah dimerdekakan nyawa gadis-gadis saudara sejenis anakanda daripada maut. Dan, jika pendek umur, biarlah anakanda menjadi korban menggantikan nyawa gadis yang lain.’ (Mutiara sastera melayu tradisional, hlm. 128-129).

A. Jelaskan tiga persoalan yang terdapat dalam petikan di atas (6).
B. Huraikan tiga perwatakan Shahar Zad dalam petikan di atas (9).
C. Jelaskan peristiwa-peristiwa yang berlaku sebelum petikan di atas yang membawa kepada tindakan raja Shah Riar memancung kepala permaisuri, dayang-dayang, dan sekalian hambanya (10).

6. Baca petikan prosa di bawah ini dan jawab soalan-soalan ang mengikutinya.
Tatkala Allah taala menurunkan anak Adam yang bongsu itu ke dunia, maka laut itu pun berombak. Maka ikan yang bernama Nun itupun menghamburkan dirinya, maka bergeraklah seluruh bumi, antah berantah rasanya alam. Sebab itulah maka bernama tanah Rom. Maka berkatalah segala anak-anak Adam yang laki-laki, “Maka sopan kita melihat rupanya”. Maka anak Adam yang bongsu itupun diturunkan oleh malaikat ke bumi yang suci; antara pasirik dan Pasirung, antara masyrik dan maghrib, antara timur dan selatan, antara Bukit Sigentang mahameru adalah yang bernama Tanah Rom kini.
Maka dikeluarkan Allah anak Indo jati selapan orang bernama Cati Reno Sudah, Amat baik rupa parasnya dan lagi manis pada mulutnya. Itulah jadi ankat-angkatan sembah kepada anak Adam semuanya. Maka berkampunglah semua anak Adam itu. Katanya ; “takut kami hai saudara kami akan tandukmu itu.”. Maka anak Adam yang bongsu itupun mengerat tanduknya. Sekerat menjadi mahkota sanggohani. Sekerat jadi lembng lembuara. Sekerat jadi gemala sati, sekerat jadi tudung saji, sekerat jadi pinang pasir. Sekerat jadi sirih udang tempawari, tampuknya kuning dan gagagnya merah, daunnya digelar ubat jadi tembaga siramin kota.
Maka turunlah segala malaikat dari langit yang ketujuh akan anak Adam yang mempunyai tanduk itu. Raja Iskandar namanya, Dzulkarnain gelarnya, yang mempunyai dua kerajaan dunia. Ertinya kerajaaan di masyrik dan di maghrib. Maka berkata anak-anak Adam semuanya, “Jika demikinan kata malaikat, kami mengikut semuanya”.

(Mutiara sastera melayu tradisional, hlm. 5).

A. Nyatakan empat benda yang terjadi daripada “sesuatu” dalam petikan di atas (4).
B. Jelaskan peristiwa penurunan Raja Iskandar dalam petikan di atas (6).
C. Berdasarkan cerita “Asal-usul kejadian isi dunia” yang termuat dalam mutiara sastera melayu tradisional, huraikan tiga peringkat pemerintahan daripada Nabi Adam hingga Datuk Ketumanggungan dan Datuk Perpatih Nan Sebatang. (15).

This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s