bahagian d contoh soalan puisi tradisional melayu stpm

Bahagian D : contoh soalan puisi melayu tradisional.

1. STPM 1998
5. Baca petikan puisi di bawah ini, dan jawab soalan-soalan yang mengikutinya.

Sama rata-sekata.

Jika mendapat sama berlaba
Kehilangan sama berugi
Yang ada dimakan bersama
Hati gajah sama dilapah
Hati kuman sama dicecah
Banyak diberi berumpuk
Sedikit beri bercecah
Besar kayu besar dahannya
Seikat seperti sirih
Serumpun seperti serai
Seciap seperti ayam
Sedencing seperti besi
Malu tak boleh diagih
Suku tak boleh dianjak
Melompat sama bongkok
Jalan sedundun
Selenggang seayun
Duduk sama rendah
Berdiri sama tinggi.
[Warnasari, Hlm. 342 – 343].

A. Apakah jenis puisi di atas. Huraikan ciri-ciri puisi ini (10).
B. Berdasarkan contoh-contoh dalam petikan puisi di atas, huraikan syarat-syarat hidup bermasyarakat yang tergambar di dalamnya (15).

6. Baca petikan puisi di bawah ini, dan jawab soalan-soalan yang mengikutinya.

Syair Ghafilah.

I Pohon agama asalnya empat
Iman islam tauhid makrifat
Iqrar dan tauhid pohon ibadat
Terhimpun kepada dua syahadat.

II Erti iman percaya akan Allah
Erti Islam menjunjung titah
Erti tauhid mengesakan Allah
Erti makrifat mengenal Allah.

III Erti syahadat pengetahuan yang putus
Bernama makrifat jikalau terus
Meskipun ta’liq jikalau memutus
Cawangnya banyak lagipun halus.

IV. Dijadikan lidah supaya berkata
Lagi mendapat segala rasa
Dijadikan hati tempat bicara
Bernama fu’ad di dalam dada.

V. Akal itu bernama pengetahuan
Martabat yang lebih kepada insan
Kemudian malaikat jin dan syaitan
Jadilah taklif menanggung firman

A. Nyatakan maksud setiap rangkap I, II, III, IV dan V syair di atas [10].
B. Huraikan keindahan-keindahan yang terdapat dalam syair di atas [15].

2. STPM 1999.
5. Baca dengan teliti kedua-dua petikan puisi di bawah ini, dan jawab soalan-soalan yang mengikutinya.

A. Ada padi adalah beras
Bertanak nasi periuk belanga
Adalah budi adalah balas
Orang berbudi kita berbahasa.

Akar keladi melilit selasih
Selasih tumbuh di hujung taman
Keluarga budi junjungan kasih
Mesra kenangan sepanjang zaman.

Di sana padi di sini padi
Padi huma dari seberang
Di sana budi di sini budi
Barulah nama disebut orang.

[Warnasari, hlm. 325-326].

i. Nyatakan jenis puisi di atas, dan terangkan teknik penulisannya dengan memberikan contoh [6].
ii. Jelaskan tiga buah fikiran dalam puisi di atas [6].

B. Dengarkanlah hai yang budiman
Budi itulah yang pohon ihsan
Yang baik itulah peri budilah
Bahawa budi itulah yang layaklah
Dengan kaya itu yang ada berbudi
Kasihan yang tiada berbudi
Jikalau harta alam punyamu
Tetapi budi yang tiadamu
Kasinya itulah namamu itu
Ke sinilah lagi adamu itu
Jikalau menjadi kaya mintalah budi itu
Ialah cahaya hai tuhanku,
Bukhari yang salah,
Ku tahani jua pemintalah,
Hadapnya anugerahMu itu,
Memohonkan ia padaMu itu.

[Warnasari, hlm. 381].

i. Nyatakan jenis puisi di atas, dan terangkan teknik penulisannya dengan memberikan contoh [6].
ii. Jelaskan tiga buah fikiran penyair dalam puisi di atas [6].

6. Baca dengan teliti kedua-dua petikan puisi di bawah ini, dan jawab soalan-soalan yang mengikutinya.

A. Apabila dengki sudah bertanah –
Datanglah daripadanya beberapa anak panah.

Pekerjaan marah jangan dibela –
Nanti hilang akal di kepala.

Bakhil jangan diberi singgah –
Itulah perompak yang amat gagah.

Pekerjaan takbur jangan dirapih –
Sebelum mati didapat juga sapih.

[Warnasari, hlm. 337 – 338].

i. Nyatakan jenis puisi di atas [2].
ii. Nyatakan empat larangan pengarang dalam puisi di
atas dan kemukakan pandangan anda tentang larangan-larangan tersebut [8].

B. Matahari empat bulan lima,
Bintang tujuh ke mata aku,
Bintang berayun ke dagu aku,
Bulan purnama di kening aku,
Semut beriring-iring di bibir aku,
Gajah sekawan di gigi aku,
Ombak beralun di lidah aku,
Suara aku seperti Nabi Daud,
Rupa aku seperti nabi Yusuf,
cahaya aku seperti cahaya nabi Muhammad,
berkat aku memakai permanisan sama jadi dengan aku,
dengan berkat la-ilaha-il-lallah.

Warnasari, hlm. 348 – 349.

i. Huraikan tiga unsur gaya bahasa dalam puisi di atas dan berikan contoh-contohnya [6].
ii. Pilih tiga citra yang digunakan dalam puisi di atas dan jelaskan kesan penggunaaanya [9].

3. STPM 2000.

5. Baca petikan puisi di bawah ini, dan jawab soalan-soalan yang mengikutinya.

Kota.
Kota melintang empat persegi ;
Lompang meriam memutih kelihatan ;
Kedai beratur berbaris-baris ;
Pohon nyiur berbanjar-banjar ;
Pohon pinang seperti pagar ;
Istana besar sembilan ruang ;
Balai penghadapan peseban agung ;
Tujuh ruang tujuh pemanah ;
Selejang kuda berlari-lari ;
Selelah burung terbang ;
Tiang sudut menteri delapan,
Tiang panjang Maharaja Lela,
Tiang tengah syukur menanti,
Tiang dapur tanggung olek ;
Galang-galang ular berang,
Kasau kecil puteri menyembah,
Kasau lentik helang berbega,
Penuh sesak hamba sahaya,
ada yang empat senama,
ada yang lima senama.
Di laung di rumah, di tanah menyahut;
Di laung di tanah, di rumah menyahut.
Warnasari, Hlm. 347.

A. Berdasarkan puisi di atas, huraikan kota yang digambarkan oleh penyair [9].
B. Huraikan empat nilai keindahan yang terdapat dalam puisi di atas [16].

6. Baca petikan puisi di bawah ini, dan jawab soalan-soalan yang mengikutinya.

I Bintang tujuh sinar berseri,
Bulan purnama datang menerpa;
Ajaran guru hendak dicari,
Mana yang dapat janganlah lupa.

II. Tetakkan parang ke dahan sena,
Belah buluh taruhkan temu;
Barang kerja takkan sempurna,
Bila tidak menaruh ilmu.

III Ramai orang pergi menjala,
Bawa bakul berserta sumpit ;
Jagalah diri jangan tercela,
Rosak nama bangsa terpalit.

IV. Menanam bunga di dalam pasu,
Bunga melati dan bunga pandan;
Jangan ikut hawa nafsu,
Kelak nanti binasa badan.

[Warna sari, hlm. 317-318]

A. Nyatakan jenis puisi di atas, dan jelaskan ciri-cirinya [8].
B. Terangkan maksud setiap rangkap puisi di atas [8]
C. Pilih tiga unsur alam dalam puisi di atas, dan jelaskan keberkesanan penggunaannya [9].

4. STPM 2001.

5. Baca petikan puisi di bawah ini, dan jawab soalan-soalan yang mengikutinya.

Dikandung ibumu sembilan bulan,
Lebih atau kurang tiada ditentukan,
Beranakkan dikau berapa kesakitan,
Berapalah pantang minum dan makan.

Hai anakku, jangan kau bantah,
Peliharaan ibumu sangatlah susah,
Dialih kek kiri kanan pun basah,
Tiadalah engkau menaruh insaf.

Berapalah dian dengannya tanglung,
Diangkat dituam lalu dibedung,
Sudahlah jaga lalu didukung
Kasih dan sayang tiada bertanggung.

Walaupun ibumu ada berhutang,
Kain sehelai juga di pinggang,
Basah di ampai kering di pinggang,
Didukung digalas tiada berenggang.

kenangkan ayahmu anak bangsawan,
barang katanya jangan dilawan,
ibubapamu perhubungan Tuhan,
baharulah sempurna anak bangsawan.

Apabila engkau dapat membilang,
Disuruh mengaji pagi dan petang,
Rumah gurumu tempat berulang,
Pagi dan petang tiada berselang.

Warnasari, hlm. 368 – 370.

A. Nyatakan jenis puisi di atas. Dalam majlis apakah puisi ini digunakan ? [3].
B. Dengan memberikan contoh, jelaskan empat teknik penulisan puisi di atas [12].
C. Huraikan lima mesej yang hendak disampaikan oleh penyair melalui puisi di atas [10].

6. Baca puisi di bawah ini, dan jawab soalan-soalan yang mengikutinya.

Demikian pula;
Aduhai malang Pak kaduk !
Ayamnya menang kampung tergadai ;
Ada nasi dicurahkan,
Awak pulang kebuluran,
Mudik menongkah surut,
Hilir menongkah pasang,
Ada isteri dibunuh,
Nyaris mati oleh tak makan ;
Masa belayar kematian angin ;
Sauh dilabuh bayu berpuput ;
Ada rumah bertandang duduk.

[Warnasari, hlm. 339].
A. Apakah jenis puisi di atas ? [1].
B. Terangkan enam pengajaran yang boleh didapati daripada puisi di atas [24].

5. STPM 2002.

7. Baca petikan puisi di bawah ini, dan jawab soalan-soalan yang mengikutinya.

A. Nubuwwah dan hukumah.
Pangkat nubuwwah dan hukumah yang nyata
Satu cincinlah dengan dua permata,
Maha mulia kedua pangkat nubuwwah dan hukumah itu
Lihatlah kemuliaan hai yang bermata.

[Warnasari, hlm. 379].

a. Nyatakan jenis puisi di atas [1].
b. Berikan maksud perkataan nubuwwah dan
hukumah [2].
c. Huraikan tiga mesej yang hendak
disampaikan oleh penulis dalam puisi di atas [9].

B. Dunia.
Dunia itu yang indah terindah pun ia,
Hina juga ia lagi termulia
Bahawa yang tiada mengenal dunia,
Bahawa yang hidupnya itu adalah sia-sia.

[Warna sari, hlm. 379]

A. Terangkan dua teknik penulisan puisi di
atas dan berikan contoh-contohnya [4].
B. Huraikan tiga mesej yang hendak
disampaikan oleh penulis dalam puisi di atas [9].

8. Baca puisi di bawah ini, dan jawab soalan-soalan yang mengikutinya.

Assalamualaikum, bisa di bayang
Bisa jangan bersenang lagi,
Bisa jangan bernaung lagi,
bisa jangan olang-olitan,
bisa dipuput bayu lalu,
bisa dipuput mambang kuning,
mati disambar kilat tanglung,
mati disambar kilat senja,
mati dipanah halilintar
mati ditimpa hujan lebat,
mati diampun air bah,
mati ditunda undang-undang,
mati dialun tepung pelunas,
kabul berkat la-ilaha-il-lallah.

Warna sari, hlm. 351.

A. Nyatakan jenis puisi di atas [1].
B. Dengan memberikan contoh yang sesuai, huraikan empat unsur gaya bahasa puisi di atas [8].
C. Huraikan empat nilai masyarakat yang boleh dikesan dalam puisi di atas [16].

6. STPM 2003.
7. Baca petikan puisi di bawah ini, dan jawab soalan-soalan yang mengikutinya.

Menjerat Burung.

Pelaung buluh pelaung ;
Pelaung buluh merpati hutan ;
Tujuh bukit, tujuh lurah,
Tujuh permatang, tujuh pelaung ;
Akan pelaung anak burung merpati hutan,
Mengapungkan ke laman Nabi Allah Sulaiman.

Arak-arak, iring-iring,
Kembang bunga si panggil-panggi,
Datang berarak, turung beriring.
Nabi Sulaiman datang memanggil;
Memanggil anak burung merpati hutan,
Ke laman Nabi Allah Sulaiman,
Indang-indang melukut,
Aku kundang, aku jemput,
Aku jemput, aku bawa turun,
Turun ke laman nabi Sulaiman,
Tak turun makan menurun,
Tak datang makan binatang,
Mati mampak mati mawai
Mati sengkalan bulu,
Mati telan tulang,
Hinggap di akar, dililit akar,
Hinggap di daun dipatuk ular daun,
Segeralah engkau turun,
Ke kandang Nabi Allah Sulaiman,
Tetak batang mengkudu,
Tetak tekan-tekankan.

[Warna Sari, Hlm. 349 – 350].

A. Huraikan empat teknik penulisan puisi di atas [16].
B. Jelaskan maksud ungkapan di bawah seperti yang terdapat dalam puisi di atas ;

I. Tujuh bukit, tujuh lurah,
Tujuh permatang, tujuh pelaung ; [3]

ii. Datang berarak, turung beriring.
Nabi Sulaiman datang memanggil; [3]

III. Mati mampak mati mawai
Mati sengkalan bulu,
Mati telan tulang, [3]

8. Baca petikan puisi di bawah ini, dan jawab soalan-soalan yang mengikutinya.

Ini gurindam Fasal yang Kelima.

Jika hendak mengenal orang yang berbangsa -
Lihat kepada budi dan bahasa.

Jika hendak mengenal orang yang berbahagia –
Sangat memelihara yang sia-sia.

Jika hendak mengenal orang yang mulia –
Lihatah kepada kelakuan dia.

Jika hendak mengenal orang yang berilmu –
Bertanya dan belajar tiadalah jemu.

Jika hendak mengenal orang yang berakal –
Di dalam dunia mengambil bekal.

Jika hendak mengenal orang yang baik perangai
Lihat pada ketika bercampur dengan orang ramai.

Warna Sari, hlm. 338.

A. Huraikan lima jenis gaya bahasa dalam puisi di atas [15].
B. Jelaskan lima persoalan yang terdapat dalam puisi di atas [10].

7. STPM 2004.

7. Baca petikan puisi di bawah ini,dan jawab soalan-soalan yang mengikutinya.

Berzanji Kelahiran Junjungan

Ketika genap dua bulan Nabi di dalam kandungan ibunya,
Ayahandanya,Abdullah wafat di Madinah,negeri yang mulia,
Abdullah berziarah ke sana ke tempat bapa saudaranya, golongan Bani ‘Adi, Qabilah Najjar ternama,
Tinggal di sana selama sepurnama,sakit derita membawa kepada kewafatannya

Ketika genap kandungan Aminah Sembilan lamanya,
Zaman gelap bertukar terang gemilang cahaya,
Pada malam kelahiran, ibu baginda didatangi oleh Asiah dan Mariyam bersama-sama sekumpulan bidadari syurga,
Sampai masanya Aminah pun melahirkan junjungan yang mulia.

Wahai Nabi, ucap salam untukmu,
Wahai Rasul, ucap salam untukmu,
Wahai kekasih,ucap salam untukmu,
Selawat daripada Allah untukmu.

Mengambang purnama menyinari kami,
Seribu bintang pudar tak bercahaya lagi,
Indah sepertimu tak pernah kami temui,
Wahai wajah yang membawa seribu janji.

Engkaulah matahari,engkaulah purnama,
Engkaulah cahaya segala cahaya,
Engkaulah pembawa hidayah semesta,
Engkaulah pelita menyala di dada.

Wahai kekasih, wahai Muhammad,
Wahai pengantin timur dan barat,
Wahai yang berhati luhur,wahai yang berkat,
Wahai imam dua kiblat

Mutiara Sastera Melayu Tradisional.
336-337)
(a) Huraikan tiga ciri berzanji dengan contohnya [9]
(b) Huraikan empat persoalan yang terdapat dalam puisi di atas [16]

8. Baca petikan puisi di bawah ini,dan jawab soalan-soalan yang mengikutinya.

Episod Pertama
(Sungguh Bertuah Nasib Pak Balung)

Kasih dicurah sayang diberi,
Makan dihidang minum disaji,
Tak perlu kais tak perlu cari,
Beras padi datang sendiri.

Hilang dicari lambat diturut,
Bulu dicuci leher diurut,
Paruh diasah taji diraut,
Ekor dibelai najis dikaut.

Lupa diri lupa daratan,
Berkokok lantang bersahut-sahutan,
Akulah handal dan jantan,
Akulah jaguh ayam tambatan,

Episod Kedua
(Sungguh Malang nasib Pak Balung)

Nasib Pak Balung belum pasti,
Entah untung entahkan rugi,
Entah hidup entahkan mati,
Entahkan maut di hujung taji.

Entah pekak entah buta,
Entah mungkin gila,
Entahkan patah tergeliat,
Atau pincang seumur hayat.

Episod Ketiga
(Sungguh Kasihan Nasib Pak Balung)

Dalam gelanggang satu bulatan,
Di situlah Pak Balung dilepaskan,
Tanpa sebab tanpa alasan,
Bersambung nyawa beradu kekuatan

Bulu dicaburt berterbangan,
Darah marah bercucuran,
Kulit daging berkecaian,
Wang ringit bertukar tangan.

Yang kalah jatuh terkapar,
Yang menang mandi darah,
Siapa yang untung ketawa besar,
Siapa yang rugi menyumpah-nyumpah.

Episod keempat.
(Sungguh sedih nasib Pak Balung).

Orang menang awak yang parah
Orang ketawa awak berdarah,
Akibat megah diri …
Akhirnya menjilat luka sendiri.

Mutiara sastera melayu tradisional, hlm. 343 – 345.

A. Namakan jenis puisi di atas (1).
B. Nyatakan empat perkara buruk yang berkemungkinan menimpa Pak Balung (8).
C. Bincangkan empat unsur pendidikan moral yang terdapat dalam puisi di atas (16).

8. STPM 2005.
7. Baca petikan puisi di bawah ini, dan jawab soalan-soalan yang berikutnya.

Assalamualaikum,
Hei! Babun tunggal Si Awang Hitam,
Aku tidur engkau berjaga,
Aku berdiri engkau berjalan,
Dulu setapak dari angina,
Aku suruh pergi,engkau pergi,
Aku panggil datang,engkau datang,
Engkau tidak boleh menongkah kata aku,
Seperti menongkah kata Muhammad.

Hai! Jin Hitam Mangkabumi,
Pangkat engkau Si Tunggal alam,
Aku minta terimalah pasungku ini,
Minta tolong jaga
Barang siapa yang iktikad salah,
Aku minta tolong kepak,
Aku minta tolong rantai,
Jikalau engkau tidak kepak,
Tidak menokok tidak merantai,
Aku sumpah engkau dengan kata Allah,
Aku sumpah engkau dengan kata Muhammad,
Berkat doa Lailahaillallah Muhammadar Rasulullah.

Mutiara Sastera Melayu Tradisional, hlm. 366 – 367.

A. Nyatakan jenis puisi di atas [1].
B. Jelaskan maksud rankai kata di bawah seperti yang terdapat dalam puisi di atas.
(i) aku tidur engkau berjaga [2]
(ii) dulu setapak dari angin (2]
(iii) kau tidak boleh menongkah kata aku [2]
(iv) barang siapa yang iktikad salah [2]

C. Terangkan 4 isi yang terdapat dalam puisi di atas.[16]

8. Baca petikan puisi di bawah ini, dan jawab soalan-soalan yang mengikutinya.

Wahai muda kenali dirimu,
Ialah perahu tamsil dirimu,
Tiadalah berapa lama hidupmu,
Ke akhirat juga kekal hidupmu,

Hai muda arif kiriman,
Hasilkan kemudi dengan pedoman,
Alat perahumu juga kerjakan,
Itulah jalan membetuli insan,

Perteguh juga alat perahumu,
Hasilkan bekal air dan kayu,
Dayung pengaruh taruh di situ,
Supaya laju perahumu itu,

Sudahlah hasil kayu dan air,
Angkatlah buat sauh dan layer,
Pada beras kekal janganlah taksir [sia-sia],
Nescaya sempurna jalan yang kabir[luas],

Perteguh jua alat perahumu,
Muaranya sempit tempatmu lalu,
Banyaklah disana ikan dan hiu,
Menanti perahumu lalu dari situ,

Muaranya dalam ikan pun banyak,
Disanalah perahu karam dan rosak,
Karangnya tajam seperti ombak
Ke atas pasir kamu terdesak,

A. Nyatakan jenis puisi diatas.
B. Jelaskan tiga teknik penulisan puisi diatas.
C. Huraikan lima mesej yang terdapat dalam puisi diatas.

9. STPM 2006.
7. Baca petikan puisi di bawah dan jawab soalan-soalan yang mengikutinya

Anak itik terenang-renang,
Renang mari dalam telaga,
Adat budi dikenang-kenang,
Budi yang baik sukar dilupa.

Renang mari dalam telaga,
Diambil seekor si anak Bentan,
Budi yang baik sukar dilupa,
Walau setitik bagai lautan.

Diambil seekor si anak Bentan,
Diberi makan di tapak tangan,
Walau setitik bagai lautan,
Apatah lagi jika berpanjangan.

Diberi makan di tapak tangan,
Dedak beras bercampur padi,
Apatah lagi jika berpanjangan,
Tidak terbalas hingga ke mati.

Dedak beras bercampur padi,
Padi bukit enak rasanya,
Tidak terbalas hingga ke mati,
Kepada Allah pohon ganjaran.

Mutiara Sastera Melayu Tradisional, Hlm. 247.

A. Namakan jenis puisi di atas (1)
B. Huraikan tiga teknik penulisan puisi diatas (9)
C. Huraikan lima nilai masyarakat melayu yang terdapat dalam puisi di atas (15)

8. Baca petikan puisi di bawah ini, dan jawab soalan-soalan yang mengikutinya.

Kemuliaan insan.

Peri permulaan keadaan insan,
Itulah ingatkan dirimu yang berirfan,
Supaya mengetahui perinya ini,
Dengan takdir lagi dengan ihsan.

Mutiara sastera Melayu tradisional, hlm. 324.

A. Nyatakan jnis puisi di atas [1].
B. Jelaskan lima ciri genre puisi di atas [10].
C. Jelaskan maksud perkataan di bawah seperti yang terdapat dalam puisi di atas ;
a. Irfan.
b. Ihsan [2].
D. Huraikan empat mesej yang hendak disampaikan oleh penyair melalui puisi di atas [12].

10. STPM 2007.
7. Baca petikan puisi di bawah ini, dan jawab soalan-soalan yang mengikutinya.

Apabila banyak berkata-kata,
Disitulah jalan masuk dusta.

Apabila banyak berlebih-lebih suka,
Itulah tanda hampirkan duka.

Apabila kita kurang siasat, 5
Itulah tanda pekerjaan hendak sesat.

Apabila anak tidak dilatih,
Jika besar bapanya letih.

Apabila banyak mencela orang,
Itulah tanda dirinya kurang. 10

Apabila orang yang banyak tidur,
Sia-sia sahajalah umur.

Apabila mendengar akan khabar,
Menerimanya itu hendaklah sabar.

Apabila mendengar akan aduan, 15
Membicarakannya itu hendaklah cemburuan.

Apabila perkataan yang lemah lembut,
Lekaslah segala orang yang mengikut.

Apabila perkataan yang amat kasar,
Lekaslah orang sekalian gusar,. 20

Apabila pekerjaan yang amat benar,
Tidak boleh orang berbuat honar.

Mutiara, hlm. 300-301.

A. Nyatakan jenis puisi di atas (1).
B. Huraikan tiga jenis gaya bahasa dalam puisi di atas (6).
C. Nyatakan enam unsur pengajaran yang terdapat dalam puisi di atas (18).

8. Baca petikan puisi di bawah ini, dan jawab soalan-soalan yang mengikutinya.

Dengarlah olehmu, hai yang budiman,
Budi itulah sungguh pohon ahsan,
Kerana ahsan itu puri budilah,
Jika lain maka lain jadilah,
Orang yang berbudi itu kayalah,
Yang bukan berbudi itu papalah,
Jika kau dapat harta alam ini,
Dan budi kurang padamu disini,
Bahawa ke sini jua namamu,
Dan segala kesinipun adamu,
Jika kamu mahu menjadi kaya,
Mintalah budi bagimu cahayai,
Hai tuhanku, bukhari yang biasa,
Minta selamat budi sentiasa,
Sudah taju’ssalatin fi’lawhir,
Dan bukhari dengan taju itu fakir,
Seribu syukur kepada tuhannya.

Mutiara Sastera Melayu Tradisional, hlm. 331.

A. Nyatakan jenis puisi ini (1).
B. Jelaskan empat fungsi umum puisi di atas (4).
C. Huraikan maksud ungkapan yang berikut ;
i. Budi itulah sungguh pohon ahsa (3),
ii. Orang yang berbudi itu kayalah (3),
iii. Yang bukan berbudi itu papalah (3),
iv. Jika kamu mahu menjadi kaya,
Mintalah budi bagimu cahayai (3),

D. Nyatakan empat nilai moral yang terdapat dalam puisi di atas (8).

11. STPM 2008.
7. Baca petikan puisi di bawah ini, dan jawab soalan yang mengikutinya.

Bunga cina di atas batu
Jatuh daunnya ke dalam ruang
Adat dunia memang begitu
Sebab emas budi terbuang.

Buah langsat kuning mencelah
Senduduk tidak berbuah lagi
Sudah dapat gading bertuah
Tanduk tidak berguna lagi.

Baik bergalas baik tidak
Buli-buli bertali benang
Baik berbalas baik tidak
Asal budi sama dikenang

Tanam lengguni tumbuh kelapa
Terbit bunga pucuk mati
Budi tuan saya tak lupa
Sudah terpahat di dalam hati.

Padi dan nanas tanam di tanjung
Tempat pipit berbuat sarang
Budi dan emas sama dijunjung
Hidup aman dikenang orang.

Mutiara kesusasteraan melayu tradisional, 243.
Huraikan lima unsur intuisi yang terdapat dalam puisi di atas (25).
8. Baca petikan puisi di bawah ini, dan jawab soalan yang mengikutinya.

Zalim.
Celaka yang besar zalim itulah
Dengarkan daripada celaka
Isi neraka nantiasa sertanya aniaya
Itulah ia yang neraka ia.

Adil dan Zalim.
Yang adil itu umpama matahari adanya,
Dan yang zalim itu maklumkan adanya daripada kehinaan dirinya juga,
Maka pada tiap-tiap hari akan menambah kehinaan dirinya.
Dan menambah kerugian dirinya jua adanya.

Mutiara kesusasteraan melayu tradisional, 339-340.
A. Nyatakan jenis puisi di atas (1).
b. Berikan maksud ungkapan di bawah seperti yang terdapat dalam puisi di atas.
i. Itulah ia yang neraka ia (3)..
ii. Yang adil itu umpama matahari adanya (3),
iii. Dan menambah kerugian dirinya jua adanya (3).

C. Huraikan lima mesej yang hendak disampaikan oleh pengarang dalam puisi di atas (15).

12. STPM 2009.
7. Baca petikan puisi di bawah ini, dan jawab soalan yang mengikutinya.

Ketika genap kandungan Aminah Sembilan lamanya,
Zaman gelap bertukar terang gemilang cahaya,
Pada malam kelahiran,ibu baginda didatangi oleh Asiah
dan Mariyam bersama-sama sekumpulan bidadari syurga,
Sampai masanya Aminah pun melahirkan junjungan yang mulia.

Wahai Nabi, ucap salam untukmu,
Wahai Rasul, ucap salam untukmu,
Wahai kekasih,ucap salam untukmu,
Selawat daripada Allah untukmu.

Mengambang purnama menyinari kami,
Seribu bintang pudar tak bercahaya lagi,
Indah sepertimu tak pernah kami temui,
Wahai wajah yang membawa seribu janji.

Engkaulah matahari,engkaulah purnama,
Engkaulah cahaya segala cahaya,
Engkaulah pembawa hidayah semesta,
Engkaulah pelita menyala di dada.

Wahai kekasih, wahai Muhammad,
Wahai pengantin timur dan barat,
Wahai yang berhati luhur,wahai yang berkat,
Wahai imam dua kiblat

Mutiara Sastera Melayu Tradisional.(hlm. 336-337)

A. Namakan jenis puisi di atas (1).
B. Nyatakan dua majlis yang mengadakan upacara pembacaan puisi di atas (4).
C. Huraikan kandungan puji-pujian setiap rangkap puisi di atas yang memuji kebesaran nabi Muhammad s.a.w. (20).

8. Baca petikan puisi di bawah ini, dan jawab soalan yang mengikutinya.

Bertanam ubi di tanah sawah
Sawah luas tanahnya subur
Ditimbun dengan hampa berat
Dicangkul pula dengan beladang
Itulah cara orang dahulu.
Kalau menguji nak sama merah
Kalau susun nak sama atur
Kalau mengganti nak sama berat
Kalau mengukur nak sama panjang
Itulah hukum pada penghulu. 10.

Menangkap ikan di Sungai lampung
Mencampak umpan kayu ke hulu
Kenalah pantau dengan jala
Diletak di dalam cupak.
Dijerang dengan daun palas. 15
Memang begitu adat berkampung
Jika luhak yang berpenghulu
Jika rantau yang beraja
Tentu tegaknya tidak tersundak
Melenggang pula tidak terpampas 20

Mutiara Sastera Melayu Tradisional.(hlm. 264)

a. Nyatakan jenis puisi di atas (1).
b. Jelaskan empat teknik penulisan puisi di atas (12)
c. Jelaskan empat gambaran masyarakat yang terdapat dalam puisi di atas (12)

This entry was posted in Uncategorized and tagged . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s