Bahagian B contoh soalan Sulalatus salatin stpm

Bahagian B : SULALATUS SALATIN SEJARAH MELAYU

1. STPM 1998.
1. Baca petikan di bawah ini dan jawab soalan-soalan yang mengikutinya.
Maka sembah Demang Lebar Daun, “Sungguh tuanku seperti khabar orang itu, jikalau tuanku berkehendakkan patik itu, patihkan sembahkan, lamun mahu duli tuanku berjanji dahulu dengan patik”. Maka titah baginda, “Apa janji paman hendak diperjanjikan dengan hamba itu ? Katakan oleh paman hamba dengar.’ Maka sembah Demang Lebar Daun, “Barang maklum duli tuanku yang Maha Mulia, jikalau anak patik telah terambil ke bawah duli, jikalau ia terkena penyakit seperti patik-patik yang lain, telah maklum ke bawah duli tuanku itu, jikalau ada ampun kurnia duli Yang Maha Mulia, janganlah duli tuanku keluarkan dari bawah istana tuanku. Biarlah dia jadi gembala dapur Yang Maha Mulia. Dan menyapu sampah di bawah peraduan duli tuanku. Seperkara lagi, perjanjian patik mohonkan anugerah ke bawah Duli Yang Maha Mulia, segala hamba Melayu jikalau dosanya ke bawah duli, patik pohonkan jangan di difadihatkan. Dinista yang keji-keji, jikalau patut pada hokum syarak bunuh, jangan duli tuanku aibi”.

Maka titah Seri Teri Buana, “Kabullah hamba akan janji paman itu, tetapi hambapun hendak minta janji juga pada paman”. Maka sembah Demang Lebar Daun, “Janji yang mana itu, patik pohonkan titah duli Yang Maha Mulia.” Maka titah Seri Teri Buana, “Hendaklah oleh segala cucu hamba, jikalau ada salahnya sekalipun, atau zalim jahat pekertinya, jangan segala hamba Melayu itu derhaka dan menitikkan darahnya ke bumi, jikalau mereka itu akan cedera, berundur hingga takluk negerinya juga”.

Maka sembah Demang Lebar Daun, ‘Baiklah tuanku, tetapi jikalau anak cucu duli tuanku dahulu mengubahkan, anak cucu patik pun berubahlah tuaku,” Maka titah Seri Teri Buana, “Baiklah paman, kabullah hamba akan waad itu”. Maka bagindapun bersumpah-sumpahlah dengan Demang Lebar Daun. Titah baginda, “Barang siapa hamba Melayu derhaka mengubahkan perjanjiannya dibalikkan Allah bumbungan rumahnya ke bawah kaki ke atas”. Maka sembah Demang Lebar Daun, “Jikalau raja Melayu itu mengubahkan perjanjiannya dengan hamba Melayu, dibinasakan Allah negerinya dan takhta kerajaannya,”. Itulah dianugerahkan Allah subhanahu wa taala pada segala raja-raja Melayu, tiada pernah memberi aib kepada segala hamba Melayu, jikalau sebagaimana sekalipun besar dosanya, tiada pernah memberi aib kepada segala hamba Melayu. Jikalau sebagaimana sekalipun besar dosanya, tiada diikat dan tiada digantung, difadihatkan dengan kata-kata yang keji hingga sampai pada hokum mati, dibunuhnya. Jikalau ada seorang raja-raja Melayu itu memberi aib seorang hamba Melayu, alamat negerinya akan binasa (Sulalatus Salatin, Hlm. 25-26).

A. Apakah peranan Seri Teri Buana dalam waad mengikut petikan di atas, dan huraikan latar belakang beliau [8].
B. Nyatakan lima intipati perjanjian yang disebutkan dalam petikan di atas [5].
C. Berikan contoh-contoh dalam Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, apabila waad tidak dipatuhi [12].

2. Sastera Sejarah atau historiografi Melayu adalah hasil karya yang mengandungi unsur sejarah tetapi ditulis dalam bentuk sastera.
A. Huraikan lima ciri sastera sejarah atau historiografi [5].
B. Berdasarkan contoh-contoh daripada Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, huraikan
i. Lima unsur sejarah dan [10].
ii. Lima unsur sastera [10].

2. STPM 1999.
1. Baca petikan di bawah ini dan jawab soalan-soalan yang mengikutinya.
Beberapa lama antaranya di jalan, maka sampailah ke Pahang, lalu mudik ke negeri. Maka dipersembahkan orang kepada Sultan Muhammad. “Bahawa laksamana datang, dititahkan paduka adinda dari Melaka mengadap tuanku.” Maka bagindapun keluarlah dihadap segala hulubalang Pahang. Seri Pikrama Raja, Penghulu Bendahari Pahang, dititahkan baginda menjemput surat itu. Setelah datang ke perahu laksamana, maka suratpun disambut orang, dibawa ke darat bersama-sama dengan Laksamana. Maka surat itupun di bawa naik ke gajah, lalu diarak dengan gendang, serunai, nafiri, nagara di bawah payung putih berapit dua. Maka Laksamana berpesan pada seorang orangnya. “Jikalau surat sudah dibaca, hendaklah engkau bunuh seorang keluarga Seri Akar Raja’. Maka kata orang itu, “Baiklah”. Maka suratpun sampailah ke dalam. Segala orang yang mengadap Sultan Muhammad itu sekaliannya turun dari atas balai, melainkan Sultan Pahang juga tinggal seorangnya. Maka gajahpun dikepilkan di balai, suratpun disambut bentara, lalu dibaca oleh khatib, demikian bunyinya, “Salam doa paduka adinda datang kepada kakanda …..”. (Sulalatus salatin, Hlm. 182).

A. Huraikan tiga perkara penting yang terdapat dalam petikan di atas [6].
B. Huraikan arahan Sultan Muhammad sebelum petikan di atas yang menyebabkan Laksamana di hantar ke Pahang [8].
C. Siapakah paduka adinda dalam petikan di atas, bincangkan ketegasan baginda dalam pemerintahan seperti yang terdapat dalam Sulalatus salatin Sejarah Melayu [11].

2. “Tun Seri Lanang banyak menyelitkan unsur mitos dalam Sulalatus Salatin sejarah Melayu”.
A. Nyatakan tiga jenis mitos yang diselitkan Tun Seri Lanang dan huraikan satu contoh mitos bagi setiap jenis yang dinyatakan [15]
B. Bincangkan fungsi mitos yang digunakan Tun Seri Lanang [10].

3. STPM 2000.
1. Sulalatus Salatin Sejarah Melayu ditulis untuk mengagungkan raja-raja dan negara kota Melaka.
A. Dengan memberikan contoh yang jelas, huraikan keagungan raja-raja Melaka [10].
B. Bincangkan keagungan negara Melaka berbanding dengan negara-negara luar [15].

2. Selain menggambarkan keagungan kerajaan Melayu, Sulalatus Salatin juga menggambarkan watak wanita yang turut menyumbang kepada pemantapan kerajaan Melayu. Antaranya watak Tun Kudu, Tun fatimah dan Tun Teja. Pilih dua watak tersebut dan huraikan ;
A. Latar belakang watak [6].
B. Perwatakan, dan [12].
C. Sumbangan watak dalam perkembangan kerajaan Melaka [7].,

4. STPM 2001.
1. Baca petikan di bawah ini dan jawab soalan-soalan yang mengikutinya.
“Maka oleh Sang Rajuna Tapa, beras dikatakannya tiada lagi. Maka titah Raja Iskandar Syah, “Cari barang siapa yang ada berjual, jangan ditawar lagi.” Maka dicari secupakpun hendak dibeli tiada orang berjual ; dengan demikian orang Singapura pun letihlah; tiada terangkatkan senjatanya lagi. Setelah dilihat oleh Sang Rajuna Tapa telah letihlah isi negeri Singapura itu, pada waktu malam dibukanyalah pintu kota, maka masuklah rakyat Jawa (Sulalatus Salatin, Hlm. 70).

A. Huraikan tiga peristiwa yang berlaku sebelum peristiwa dalam petikan di atas [9].
B. Peristiwa yang digambarkan dalam petikan di atas sebenarnya berfungsi untuk mengetengahkan beberapa aspek moral. Huraikan empat aspek moral yang berunsur negatif berdasarkan petikan tersebut [16].

2. Tun seri Lanang banyak sekali memasukkan pengaruh luar dalam teks Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu). Dengan memberikan contoh-contoh, huraikan pengaruh-pengaruh luar yang berikut ;
A. Empat pengaruh Islam [16].
B. Tiga pengaruh Hindu [9].

5. STPM 2002.
3. Baca petikan di bawah ini dan jawab soalan-soalan yang mengikutinya.
Syahadan datanglah ke Teluk Belanga, maka kenaikan itu tiadalah tertimba lagi. Lalu akan tenggelam. Maka titah baginda, ; Apa yang ada lagi di dalam perahu ini, maka tiada ia mahu timbul ini ?” Maka sembah menteri baginda ; “Pada pendapat patik, kalau sebab mahkota kudrat itu juga tuanku, maka kenaikan demikian halnya.” Maka diambil mahkota itu, lalu diletakkan baginda ke air . Sekonyong-konyong teduhlah ribut itu dan ombakpun tenang seperti air di dalam balang. Maka didayungkan oranglah ke pantai; setelah datang ke pantai maka bagindapun turunlah, membawa isteri baginda diiringkan mendara perwara sekalian, bermain di padang Temasek itu. Maka segala perahu yang banyak itu pun datanglah semuanya berkampung, dan segala orang Orang Besar-besar itu turun dengan isterinya mengadap baginda dua laki isteri (Sulalatus Salatin, Hlm. 39-40).

A. Siapakah yang dimaksudkan dengan baginda dalam petikan di atas [1].
B. Huraikan dua peristiwa yang berlaku sebelum petikan dan dua peristiwa yang berlaku selepas petikan di atas [16].
C. Nyatakan dua peristiwa lain dalam Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) yang menyamai gambaran luar biasa seperti dalam petikan di atas [8].

4. Di samping memiliki ketinggian nilai kesusasteraan, Sulalatus Salatin (Sejarah melayu) juga mempunyai kedudukan tersendiri sebagai sumber pengajaran dan pendidikan moral kepada raja-raja Melayu.
A. Huraikan peristiwa-peristiwa berikut dalam konteks pengajaran dan pendidikan moral kepada raja-raja Melayu.
i. Peristiwa anak Sang Rajuna Tapa dipercanggaikan di hujung pasar oleh Raja Iskandar Syah [3].
ii. Peristiwa Sultan Alauddin Riayat Syah menangkap pencuri pada waktu malam [3].
iii. Peristiwa peminangan Puteri Gunung Ledang oleh Sultan Mahmud [3].
B. Jelaskan empat keistimewaan Sulalatus Salatin (sejarah Melayu) sebagai sumber sejarah moral kepada raja-raja Melayu [16].

6. STPM 2003
3. Dalam Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, terdapat dua peristiwa yang menggambarkan sifat taat setia dan ketegasan hamba Melayu kepada raja, antaranya ialah kesetiaan dan ketegasan Bendahara Paduka Raja terhadap Raja Muhammad, dan Tun Biajid terhadap Sultan Mahmud Syah. Berdasarkan dua peristiwa tersebut ;
A. Huraikan gambaran kesetiaan
i. Bendahara Paduka Raja Tun Perak [4].
ii. Tun Biajid [4].
B. Huraikan gambaran ketegasan
i. Bendahara Paduka Raja Tun Perak [4].
ii. Tun Biajid [4].
C. Terangkan tiga sebab yang mewajarkan Bendahara Paduka Raja Tun Perak dan Tun Biajid berperwatakan setia dan tegas [9].

4. Baca petikan di bawah ini dan jawab soalan-soalan yang mengikutinya.
Adapun akan Hang Hussain Cengang hendak kahwin dengan anak hang Usuh. Setelah sudah nikah, maka nasi hadapan pun dikeluarkan orang. Maka segala orang tua-tua mengadap bersuap-suapan itu. Setelah tiga suap seorang bersuap-suapan itu, maka nasi itu pun hendak diangkat orang, maka dipegang oleh Hang Hussain Cengang, katanya, “Jangan diangkat dahulu, anak tuan hendak sudah, sudahlah; hamba lagi hendak makan, kerana belanja hamba banyak sudah habis.” Maka dimakannya seorang, seraya berdiri lutut. Setelah habis nasi itu, maka segala perempuan yang memandang kelakuannya itu, semuanya riuh tertawa gelak-gelak. Setelah sudah ia makan, maka Hang Hussain Cengang pun masuklah ke pelaminan (Sulalatus Salatin, Hlm. 200 – 201).
A. Jelaskan mengapa perempuan yang memandang kelakuannya itu, semuanya riuh tertawa gelak-gelak.[5].
B. Huraikan empat tujuan petikan episod di atas ditulis [20].

7. STPM 2004.
3. Baca petikan di bawah ini dan jawab soalan-soalan yang mengikutinya.
Hatta berapa lamanya, datanglah peredaran dunia; maka Sultan Mansur pun geringlah. Setelah diketahui baginda dirinya akan mangkat, maka baginda pun menyuruh memanggil anakanda baginda, Raja Ahmad, timang-timangannya Raja Hussain ; dan Bendahara Paduka Raja, dan segala orang Besar-besar sekalian, datang berkampung. Maka titah Sultan Mansur Syah pada sekalian, mereka itu. “Ketahui olehmu sekalian, bahawa dunia ini telah lepaslah rasanya daripada genggamanku; melainkan negeri akhiratlah penghadapanku. Adapun petaruhkulah pada Bendahara dan segala Orang kaya-kaya sekalian, anak kita Ahmad ialah ganti kita pada tuan-tuan sekalian. Jikalau barang sesuatu salahnya, hendaklah dimaafkan oleh tuan-tuan sekalian, kerana ia budak yang bebal, tiada tahu istiadat.”

Setelah segala mereka mendengar titah Sultan Mansur Syah demikian itu, maka sekaliannya pun menangislah terlalu sangat. Maka sembah Bendahara Paduka Raja dan segela menteri hulubalang, Orang Kaya-kaya sekalian, “Ya tuanku, jangan apalah hati patik sekalian duli tuanku perbinasakan dengan titah yang sedemiian itu; bahawa patik sekalian ini adalah berkaul jika diafiatkan Allah taala kiranya Duli Yang Dipertuan daripada gering sekali ini, habislah segala harta yang di dalam khazanah patik, akan patik sekalian sedekahkan pada segala fakir miskin; tetapi barang dijauhkan Allah kiranya yang demikian itu, jikalau layu rumput di halaman Yang dipertuan, seperti titah itulah patik sekalian kerjakan.”

Maka Sultan Mansur Syah pun memandang kepada anakanda baginda, Raja Ahmad; maka titah baginda, “Hei anakku, ketahui olehmu, bahawa dunia ini sekali-kali tiada kekal adanya. Yang hidup itu sedia akan mati juga sudahnya; iman yang sempurna dan peekerti yang baik, itulah yang kekal disebut orang selama-lamanya. Adapun peninggalan aku ini, hei anakku, hendaklah engkau berbuat adil sangat-sangat, dan jangan engkau mengambil hak orang tiada sebenarnya.” (Sulalatus Salatin, Hlm. 171-171).
A. Jelaskan makna rangkaikata di bawah berdasarkan petikan di atas.
i. bahawa dunia ini telah lepaslah rasanya daripada genggamanku [2].
ii. kerana ia budak yang bebal, tiada tahu istiadat.” [2].
iii. jangan engkau mengambil hak orang tiada sebenarnya.” [2].
B. Terangkan tiga wasiat yang telah disampaikan oleh Sultan Mansur Syah [9].
C. Huraikan dua peranan wasiat seperti yang dikemukakan dalam petikan diatas [10].

4. Tun Perak ialah tokoh pembesar Melaka yang unggul.
A. Terangkan latar belakang Tun Perak sebelum menjadi Bendahara [3].
B. Huraikan dua peristiwa yang membawa kepada perlantikan Tun Perak sebagai Bendahara Melaka [12].
C. Huraikan tindakan yang diambil oleh Bendahara Tun Perak bagi perkara yang berikut.
i. Serangan Siam kali ke-2 (pimpinan Awi Dicu) ke atas Melaka [5].
ii. Menawan Indera Pura [5].

8. STPM 2005.
3. Baca petikan di bawah ini dan jawab soalan-soalan yang mengikutinya.
Setelah hampir dinihari, maka masuklah Li Po membawa Tun Perpatih Putih dengan segala menteri dan orang Besar-besar hendak mengadap raja Cina. Maka datanglah gagak sekawan, tiada terhisabkan banyaknya, turut masuk sama-sama.

Setelah datang kepada pintu kota, maka Li Po pun berhenti dengan sekalian mereka. Maka gagak itu punberhenti; maka berbunyilah gong pengerah, gemuruh bunyinya dan pintu pun terbuka, maka Li Po dengan sekalian mereka itu pun berjalanlah masuk, dan gagak pun masuk. Maka datang ke pintu selapis lagi, berhenti pula; gagak pun berhenti juga, hingga sampai kepada tujuh lapis pintu pun demikian juga. Setelah datang kepada balairung, hari pun siang. Maka sekalian mereka pun duduklah di balai, masing-masing pada tempatnya. Adapun balai itu panjangnya separsakh, tiada beratap; daripada banyaknya orang mengadap itu hingga bertemu-temu lutut juga, tempatnya tiada bersela lagi; semuanya itu segala menteri dan hulubalang belaka.

Maka gagak berkawan itu sekaliannya mengembangkan sayapnya, menaungi sekalian mereka itu. Maka berbunyilah guruh, petir dan kilat sabung-menyabung. Maka raja China pun keluar; berbayang-bayang rupanya kelihatan dari dalam mungkur kaca dalam mulut naga. Demi melihat raja China, maka sekalian mereka itu pun semuanya menundukkan kepala ke bumi menyembah raja China, tiada mengangkat muka lagi (Sulalatus Salatin, Hlm. 132.)

A. Huraikan lima gambaran luar biasa yang terdapat di istana raja Cina semasa rombongan Tun Perpatih Putih berada di sana [15].
B. Jelaskan dua kebijaksanaan tun Perpatih Putih semasa berada di China seperti yang terdapat dalam Sulalatus Salatin Sejarah melayu [10].
4. Keruntuhan nilai kemanusiaan di Melaka telah membawa kepada pembunuhan Bendahara Seri Maharaja. Berdasarkan Sulalatus Sejarah Melayu, huraikan lima faktor yang membawa kepada keruntuhan nilai tersebut [25].

9. STPM 2006
3. Huraikan lima peristiwa atau perlakuan yang berulang-ulang yang terdapat dalam Sulalatus Salatin Sejarah Melayu [25].

4. Baca petikan di bawah ini dan jawab soalan-soalan yang mengikutinya.
Adapun pada zaman itu negeri Melaka terlalulah ramainya, segala datangpun bertambah-tambah berkampung; dari sebelah kampong Keling datang ke Kuala Penajuh, rapat rumah; orang pergi-pergian dari Melaka hingga datang ke Jugra tiada membawa api; barang di mana dia berhenti, di sana adalah kampong orang. Dan dari sebelah sini dating ke batu Pahat, demikian juga; kerana rakyat Melaka sembilan belas laksa banyaknya yang dalam negeri juga itu.

Hatta maka datang sebuah kapal Peringgi dari Goa, ia berniaga di Melaka. Maka dilihat oleh Peringgi itu, negeri Melaka terlalu baik, bandarnya terlalu ramai. Maka segala ……..

Setelah datanglah musim akan kembali, maka kapitan kapal itu kembalilah ke Goa. Setelah ia datang ke Goa, maka diwartakannyalah pada wizurai, peri kebesaran negeri Melaka, dengan makmurnya, dan terlalu ramai bandarnya. Pada masa itu wizurai Goa, Alfonso d’Albuquerque namanya. Maka ia pun terlalu ingin mendengar khabar negeri Melaka itu. Maka ia menyuruh berlengkap kapal tujuh buah; ghali panjang sepuluh; fusta tiga belas. Setelah sudah lengkap, maka disuruhnya menyerang Melaka pada Gonsalo Pereira; nama kapitannya Mor (Sulalatus Salatin, Hlm. 244-245).

Petikan di atas menggambarkan kemakmuran dan keagungan Melaka sehingga mendorong Peringgi ingin menaklukinya. Huraikan lima faktor yang menyebabkan Melaka menjadi sebuah negeri yang makmur dan agung [25].

10. STPM 2007.
3. Baca petikan di bawah ini dan jawab soalan-soalan yang mengikutinya.
Sekali persetua Sultan Mahmud Syah bermain dengan isteri Tun Biajid, anak Laksamana Hang Tuah, pada tatkala itu Tun Biajid tiada di rumah, pergi ke Merba, kerana Merba pegangannya. Maka pada suatu malam Sultan Mahmud pergi ke rumah isteri Tun Biajid, setelah dinihari maka baginda pun kembali. Maka Tun Biajid pun baru datang dari Merba, diiringkan oleh orang-orangnya hendak pulang ke rumahnya, maka bertemu dengan Sultan Mahmud Syah yang kembali dari rumah isterinya. Maka Tun Biajid pun tahu akan Sultan Mahmud Syah bermain dengan isterinya itu; Jikalau hendak dibunuhnya pada masa itu dapat, kerana tiada beberapa orang yang mengiringkan baginda. Daripada ia hamba Melayu tiada ia mahu mengubahkan setianya sekadar lembingnya ditimang-timangnya. Katanya ‘Hei Sultan Mahmud demikianlah pekerjaan tuan hamba kepada hamba ? Sayang tuan hamba tuan kepada hamba jikalau tuan hamba bukannya tuan kepada hamba, jika tidak lembing ini kuterbangkan di dada itu, ubah nama si Biajid anak Laksamana Hang Tuah. Maka tatakala segala hamba raja yang mengiringkan baginda itu hendak gusar, maka titah Sultan Mahmud Syah, jangan kamu semua marah, kerana katanya itu benar, Kita sedia salah kepadanya. Pada hukumnya patut kita dibunuhnya, daripada ia hamba Melayu tidak ia mahu derhaka. Maka demikian lakunya. Maka bagindapun kembali ke istana.

Maka oleh Tun Biajid isterinya itu ditalaknya dan dia pun tiadalah mahu mengadap dan bekerja lagi. Maka oleh Sultan Mahmud, Tun Biajid dipanggil baginda. Maka Tun Biajid pun datang mengadap maka gundek baginda yang bernama Tun Iram Sendari itu dianugerahkan baginda pada Tun Biajid. Maka diambil oleh Tun Biajid akan Tun Iram sendari itu diperisterikannya. Sungguhpun demikian, tiada juga Tun Biajid mahu ke majlis, jika dititahkan dari rumahnya turun ke perahu lalu pergilah ia.

Pada suatu malam Sultan Mahmud Syah pergi ke rumah seorang perempuan, Tun Dewi namanya. Maka didapati baginda Tun Ali Sandang ada di sana. Maka Sultan Mahmud pun berbalik, baginda menoleh ke belakang, dilihat baginda Tun Isap anak Tun Abu Yazid, cucu Tun Sayid, cicit Seri Udana, Piut Tun Hamzah anak Bendahara Seri Amar Diraja, ada mengiring baginda. Maka oleh Sultan Mahmud diambil baginda sirih dipuan, dianugerahkan kepada Tun Isap. Maka Tun Isappun fikir pada hatinya, “Apa gerangan ertinya Yang Dipertuan memberi aku sirih dari puan ini ?” Pada bicaraku entah Yang Dipertuan menyuruh membunuh Tun Ali Sandang gerangan ?” Kerana pada zaman dahulu kala, sirih di puan raja itu terlalu mulia, tiada barang orang-orang yang dianugerahkan raja ; barang siapa dianugerahkan sirih dari puan itu, tanda kurnialah akan orang itu. (Sulalatus Salatin 193 – 194).

A. Jelaskan maksud rangkaikata yang berikut berdasarkan petikan di atas,
i. Tun Biajid tiada di rumah, pergi ke Merba, kerana Merba pegangannya (2).
ii. Daripada ia hamba Melayu tiada ia mahu mengubahkan setianya (2).
iii. Jika tidak lembing ini kuterbangkan di dada itu, ubah nama si Biajid anak Laksamana Hang Tuah. (2).
B. Mengapakah Sultan Mahmud menganugerahkan sirih kepada Tun Isap ? (3).
C. Huraikan empat mesej yang terdapat dalam petikan di atas (16).

4. Baca petikan di bawah ini dan jawab soalan-soalan yang mengikutinya.
Adapun Tun Perpatih Puteh mengadap Raja Cina, kesepuluh jarinya dibubuh sepuluh bentuk cincin; barangsiapa menteri Cina memandang legap kepada cincin itu, dihulur oleh Tun Perpatih Putih sebentuk, diberikan kepada menteri yang memandang itu. Demikianlah pada sehari-hari ia mengadap raja Cina, maka barangsiapa yang memandang cincinnya itu diberinya. Maka titah Raja Cina kepada Tun Perpatih Putih ; Apa kegemaran orang Melaka ; Maka sembah Tun Perpatih Putih ; “Sayur kangkung tuanku, jangan dikerat-kerat, belah panjang-panjang, iaitulah kegemaran kami orang Melaka makan, Tuanku !” Maka disuruh oleh raja Cina sayurkan kangkung seperti yang diperkatakan oleh Tun Perpatih itu. Setelah sudah masak, dihantarkan dihadapan Tun Perpatih Putih, dan orang Melaka sekaliannya pun membibit hujung sayur kangkung itu, serta menegadah, mengangakan mulutnya. Maka kelihatanlah Raja Cina duduk di atas kerusi dalam mulut naga pada mangkur kacanya. Maka barulah dapat dilihat dengan nyata oleh orang Melaka akan raja China itu. Setelah sekalian China melihat orang Melaka makan sayur kangkung itu maka diturutnya. Sebab itulah orang China tahu makan kangkung datang sekarang. (Sulalatus Salatin, hlm. 133).
A. Jelaskan gambaran dramatik dalam petikan di atas (10).
B. Pilih tiga episod lain dalam Sulalatus Salatin sejarah Melayu yang menggunakan teknik dramatik, dan jelaskan gambaran yang dramatik dalam setiap episod tersebut (15).

11. STPM 2008.
3. Salah satu sifat istimewa yang dimilki oleh Bendahara Paduka Raja ialah kebijaksanaan.
A. Jelaskan latar belakang Bendahara Paduka Raja (5).
B. Huraikan empat contoh peristwa yang dapat menggambarkan kebijaksanaan tokoh ini (20).

4. Jelaskan gambaran masyarakat Melayu Melaka sebagaimana yang terdapat dalam teks Sulalatus Salatin (sejarah melayu) dari aspek berikut;
A. Corak pentadbiran (13).
B. Susun lapis masyarakat (12).

12. STPM 2009.
3. Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) yang ditulis oleh Tun Seri Lanang mengungkapkan tema kebesaran dan keagungan raja Melaka. Bincangkan penyataan ini (25).

4. A. Nyatakan makna lambang pada watak binatang di bawah ini seperti yang terdapat dalam Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu)
i. Pelanduk (2).
ii. Singa (2).
iii. Semut Besar (2).
iv. Biawak (2).
v. Ular sakti mona (2).

B. Huraikan peranan watak bukan manusia di bawah ini seperti yang terdapat dalam Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu)
i. Makhluk halus (5).
ii. Binatang (5).
iii. Tumbuh-tumbuhan (5).

This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s